POIC Lahad Datu berpotensi dibangunkan sebagai zon ekonomi khas

Foto POIC Lahad Datu

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Taman Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu berpotensi dibangunkan sebagai zon ekonomi khas bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab strategik di bawah inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri menyokong cadangan Ahli Parlimen Penampang menjadikan Sabah pintu masuk strategik dan pembangunan POIC dilaksanakan lebih awal berbanding zon Johor dan Singapura.
  • Kawasan sedia ada mempunyai tanah, infrastruktur logistik dan kemudahan penyimpanan, dengan keluasan kira-kira 1,780 hektar.
  • Kerajaan digalakkan mendapatkan perunding untuk menyediakan cadangan terperinci, mengenal pasti sektor perindustrian; MITI serta Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan meneliti.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan Ahli Parlimen Penampang untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk strategik ke Malaysia menerusi pembangunan POIC Lahad Datu wajar diberi perhatian.

“Saya menyokong cadangan ini kerana pada pandangan saya, pembangunan POIC Lahad Datu sepatutnya dilaksanakan lebih awal berbanding Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Kawasan ini mempunyai keluasan kira-kira 1,780 hektar dan berpotensi menjadi lokasi yang sangat strategik kerana telah sedia ada mempunyai tanah, infrastruktur logistik serta kemudahan penyimpanan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick yang mencadangkan POIC sebagai zon ekonomi khas.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mendapatkan khidmat perunding bagi menyediakan cadangan pembangunan terperinci, termasuk mengenal pasti sektor industri berpotensi dan hala tuju pelaburan yang bersesuaian.

“Yang paling penting ialah mengenal pasti sektor yang hendak dibangunkan dan bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada zon ekonomi khas ini, seperti kejayaan yang telah dilaksanakan di Johor,” katanya.

Menurut Datuk Seri Johari, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyokong usaha mengenal pasti sektor perindustrian yang sesuai, manakala cadangan berkenaan boleh dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk penelitian lanjut.

Beliau berharap pendekatan itu dapat memastikan pembangunan POIC Lahad Datu bukan sekadar menarik pelaburan, malah mewujudkan nilai tambah kepada industri tempatan dan ekonomi Sabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.