
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Pelaburan baharu seharusnya dinilai berdasarkan sumbangan sebenar kepada ekonomi domestik dan bukan semata-mata jumlah modal yang dibawa masuk ke negara ini.
- Tetapkan indikator jelas: pekerjaan dicipta, peningkatan pekerja berkemahiran, penggunaan pembekal tempatan, pemindahan teknologi, nilai tambah.
- Galakkan pelabur membina operasi sebenar di Malaysia, bukan sekadar pusat transit atau gudang pengedaran.
- Kukuhkan rantaian bekalan tempatan untuk buka peluang kepada perusahaan kecil dan syarikat tempatan sebagai pembekal.
- Semak semula pemohon pelaburan bagi memastikan penciptaan pekerjaan dan manfaat ekonomi sebenar di negara ini.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan keberkesanan sesuatu pelaburan adalah penting bagi memastikannya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat.
“Kerajaan disaran menetapkan beberapa indikator yang jelas seperti jumlah pekerjaan yang diwujudkan, peningkatan pekerja yang berkemahiran tinggi, penggunaan pembekal tempatan, pemindahan penguasaan teknologi serta jumlah nilai tambah kepada negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pendekatan itu dapat menggalakkan sesebuah syarikat menjalankan operasinya secara lebih menyeluruh dalam tempoh jangka panjang, berbanding sekadar menjadi pusat transit dan lokasi logistik.
“Situasi ini juga berupaya mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dengan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat tempatan untuk menjadi pembekal kepada pelabur asing,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor, Yong Kai Ping berkata pelabur juga perlu memastikan operasi perniagaan mereka di Malaysia, tidak hanya sebagai tempat transit, gudang atau pusat pengedaran tetapi perlu membina operasi sebenar dalam negara.
“Terdapat beberapa platform asing khususnya platform e-dagang yang memasuki Malaysia dengan menawarkan penghantaran percuma dan harga sangat murah. Namun, mereka tidak membuat pelaburan atau mempunyai rangkaian pasukan di negara ini sebaliknya menjual barangan terus dari luar negara.
“Keadaan ini boleh menjejaskan peniaga dan perniagaan tempatan selain, mereka tidak mempunyai rangkaian operasi yang kukuh di Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan menyemak semula pemohon pelaburan baharu bagi memastikan aktiviti mereka menjana pekerjaan dan membawa manfaat ekonomi negara.
Tambah beliau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan terdapat beberapa syarikat yang menggunakan gudang dan menjalankan aktiviti transit tanpa menyediakan manfaat dari segi pekerjaan atau sumbangan ekonomi.