
SEMATAN, 21 Ogos – Kesihatan dan keselamatan kanak-kanak terus menjadi keutamaan kerajaan dalam menghadapi ancaman jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan.
- Kerajaan sedia menutup institusi pendidikan awal sementara apabila bacaan IPU mencapai tahap berbahaya.
- Pendekatan Kerajaan Sarawak dicadang dicontohi bagi meminimumkan risiko pendedahan asap, terutamanya kepada golongan rentan.
- Perancangan rapi diperlukan untuk memastikan proses pembelajaran dan keperluan kanak-kanak tidak terjejas semasa penutupan.
- Pengalaman pengurusan COVID-19 menunjukkan kesiapsiagaan rakyat mematuhi SOP jika langkah pencegahan lebih drastik diperlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk menutup sementara institusi pendidikan awal sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya.
Beliau berkata, pendekatan yang diguna pakai Kerajaan Sarawak dalam menangani krisis cuaca ekstrem wajar dicontohi bagi meminimumkan risiko pendedahan terhadap asap jerebu, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan rentan.
Menurutnya, sekiranya penutupan institusi pendidikan terpaksa dilaksanakan untuk tempoh tertentu, perancangan rapi perlu disediakan bagi memastikan proses pembelajaran dan keperluan kanak-kanak tidak terjejas.
“Kalau pelajar terlalu lama tidak bersekolah, maka perlu ada perancangan yang tertentu dan kita percaya seperti mana waktu COVID-19, semuanya kita telah patuhi peraturan yang telah diaturkan.
“Jadi, insya-Allah, saya rasa kita di Malaysia ini tidak mempunyai masalah untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendekatan kerajaan sekiranya jerebu rentas sempadan mula menjejaskan kualiti udara di Semenanjung Malaysia.
Menurut Datuk Seri Nancy, pengalaman negara menguruskan pandemik COVID-19 sebelum ini membuktikan kesiapsiagaan rakyat Malaysia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya langkah pencegahan lebih drastik perlu dilaksanakan demi keselamatan awam.