
SUNGKAI, 21 Ogos – Seekor Harimau Malaya betina yang ditangkap di Sungai Choh, Ulu Kinta akan dilepaskan ke habitat asal, awal bulan depan.
- Penilaian mendapati harimau "Yong Choh" sihat dan mempunyai keupayaan untuk berdikari.
- Pelepasan semula merupakan matlamat utama NWRC demi memastikan kesinambungan ekosistem hutan negara.
- Program MyBIT sejak 2023 berjaya melahirkan 13 anak harimau, sembilan daripadanya dibesarkan di NWRC.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penilaian mendapati harimau yang diberi nama “Yong Choh” itu berada dalam keadaan sihat serta mempunyai keupayaan untuk berdikari.
Menurut beliau, pelepasan semula haiwan yang kian terancam itu merupakan antara matlamat utama penubuhan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), demi memastikan kesinambungan ekosistem hutan negara.
“Sebaik-baiknya kita pulihkan untuk dikembalikan kepada habitatnya yang semula jadi.
“Tetapi sekiranya kita mendapati ia tidak dapat berdikari, kita akan menilai kembali, sebab kita kena pastikan keselamatan haiwan itu sebelum dilepaskan ke habitat asal,” katanya pada sesi lawatan turun padang ke NWRC, di sini.
Harimau seberat 100 kilogram itu berjaya ditangkap pada awal bulan lalu, selepas memasuki perangkap yang dipasang di kawasan Hulu Kinta, sebelum ditempatkan di NWRC untuk pemantauan rapi dan proses pemulihan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Arthur memaklumkan, pelaksanaan program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) sejak 2023 menunjukkan kejayaan signifikan apabila sebanyak 13 ekor anak harimau berjaya dilahirkan dengan sembilan daripadanya membesar di NWRC.