Selangor sasar jadi Negeri Model ASEAN menjelang 2030

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada gimik Perasmian Rancangan Selangor Kedua/ Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 21 Ogos – Selangor menyasarkan untuk muncul sebagai Negeri Model ASEAN bagi pertumbuhan saksama dan kualiti hidup menjelang 2030, bukan sekadar mengekalkan kedudukan sebagai negeri terunggul di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • RS-2 diluluskan sebagai pelan pembangunan sosioekonomi negeri untuk tempoh lima tahun.
  • Memperkenal Indeks Waja untuk menentukan pendapatan wajar dan menyalurkan sokongan kepada kawasan kurang petunjuk kualiti.
  • Sasaran pertumbuhan ekonomi tahunan 6.5 peratus, dan sumbangan negeri kepada ekonomi negara meningkat kepada 28 hingga 30 peratus.
  • RS-2 merangkumi enam misi, 98 inisiatif dan 25 petunjuk utama; kejayaan bergantung pelaksanaan bersepadu semua jabatan serta agensi.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, aspirasi itu penting bagi memastikan Selangor mampu merebut potensi ekonomi ASEAN yang kini mempunyai lebih 600 juta penduduk serta kedudukan strategik sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi global.

“Ini pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik dan kadar kemiskinan yang rendah. Namun, kita mencabar diri untuk melihat lebih daripada sekadar taraf kemiskinan.

“Sekarang kita cuba mewujudkan satu indeks, iaitu Indeks Waja atau ekonomi bermaruah seperti yang saya sebut dalam laporan. Kita akan mengkaji berapa pendapatan yang wajar bagi memenuhi keperluan kehidupan di bandar di Selangor.

“Kajian itu akan kita teliti dan daripada situ, kita akan hadirkan semula sokongan serta bantuan kepada kawasan yang masih belum mempunyai petunjuk atau indeks kualiti yang sesuai. Ini kerana negeri kita rencam, permintaannya tinggi dan mempunyai kompleksiti serta keperluan yang sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Taklimat Rancangan Selangor Kedua (RS-2), di sini.

Menurut Datuk Seri Amirudin, Selangor berani menyertai persaingan bagi memastikan negeri itu menjadi model dan contoh kepada negeri serta rantau lain.

“Jika ASEAN berjaya, negara mana yang akan menjadi contoh dan rantau mana yang akan menjadi rujukan?” katanya.

Sasaran itu dizahirkan menerusi RS-2, iaitu pelan pembangunan sosioekonomi negeri bagi tempoh lima tahun sehingga 2030 yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 13 Ogos lalu.

Beliau berkata, RS-2 bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan masyarakat yang lebih makmur serta kehidupan berkualiti.

Selangor menyasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6.5 peratus, selain meningkatkan sumbangan negeri kepada ekonomi Malaysia daripada lebih satu perempat ketika ini kepada antara 28 hingga 30 peratus.

RS-2 merangkumi enam misi dan 98 inisiatif yang meliputi kepimpinan ekonomi, pembangunan seimbang antara daerah, negeri penyayang, modal insan, tadbir urus strategik serta kerajaan yang berkesan.

Menurutnya, kejayaan pelan berkenaan bergantung kepada pelaksanaan bersepadu semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, pejabat daerah serta syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa semua program, belanjawan, projek, pelaburan dan inisiatif negeri perlu diselaraskan dengan enam misi serta 25 petunjuk utama RS-2 bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.