Polis buru empat lelaki bersenjata, kedai emas disamun RM500,000

Foto RTM

KUANTAN, 21 Ogos – Polis memburu empat lelaki bersenjata yang dipercayai menyamun sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini, petang tadi, dengan kerugian dianggarkan sekitar RM500,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek memasuki premis memakai pelindung muka, membawa sebilah parang dan objek menyerupai senjata api jenis pump gun.
  • Mereka melarikan sejumlah barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan dua motosikal.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
  • Orang ramai diminta hubungi Inspektor Che Nur Junaidah di 014-882 8135 atau IPD Kuantan di 09-565 2222 jika ada maklumat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila empat suspek yang memakai pelindung muka menyerbu premis berkenaan dengan membawa sebilah parang dan objek menyerupai senjata api jenis pump gun.

Menurut beliau, suspek kemudian melarikan sejumlah barang kemas sebelum meninggalkan lokasi dengan menaiki dua motosikal.

“Anggaran awal kerugian adalah sekitar RM500,000, namun jumlah sebenar masih dalam proses pengesahan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, manakala usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Che Nur Junaidah Che Jusuh di talian 014-882 8135 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.