Kerajaan sasar kurangkan 50% kematian jalan raya menjelang 2030

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bergambar pada Majlis Penutup Program Amal PDRM dengan Kerjasama Ipoh Superbike serta Ambang Merdeka Ke-69/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kerajaan menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030 menerusi pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak, termasuk pengguna jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pengurangan kematian memerlukan pendekatan Keseluruhan Kerajaan (Whole-of-Government) dan keterlibatan semua agensi.
  • Tanggungjawab keselamatan jalan raya bukan hanya PDRM; kerjasama semua pengguna jalan wajib.
  • Pada 2023, 6,537 kematian dilapor; kira-kira 66% membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
  • Kemalangan kebanyakannya hasil kesilapan manusia, menimbulkan kerugian kira-kira RM30 bilion setahun; budaya keselamatan perlu dibudayakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai kemudahan jalan raya bertaraf dunia, namun tahap disiplin dan sikap pengguna ketika berada di jalan raya masih perlu diperbaiki.

“Kita mempunyai kemudahan kelas pertama, tetapi apabila kita berada di atas jalan raya, anehnya kita mempunyai mentaliti kelas ketiga. Sepatutnya kemudahan kelas pertama mesti ada mentaliti kelas pertama. Sikap kita, kelakuan kita, cara kita bila berada di jalan raya harus wajib diubah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup Program Amal PDRM dengan Kerjasama Ipoh Superbike serta Ambang Merdeka Ke-69, di sini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya berkata, sasaran mengurangkan 50 peratus kematian menjelang 2030 memerlukan pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau ‘Whole-of-Government’.

Beliau turut menegaskan, tanggungjawab memastikan keselamatan jalan raya tidak boleh hanya diletakkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebaliknya memerlukan kerjasama semua pengguna jalan raya.

Katanya, sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan pada 2023, bersamaan purata 18 kematian sehari.

Kira-kira dua pertiga atau 66 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Meskipun motosikal hanya membentuk kira-kira 14 peratus daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, sebahagian besar kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Kerana kemalangan ini kebanyakannya bukan disebabkan oleh kesalahan teknikal, tetapi disebabkan oleh kesilapan manusia, kesilapan penunggang, pembonceng dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Peningkatan kemalangan jalan raya turut memberi kesan ekonomi yang besar kepada negara dengan kerugian dianggarkan sekitar RM30 bilion setahun.

Sehubungan itu, semua pihak digesa membantu kerajaan membudayakan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.