
KEMAMAN, 21 Ogos – Seramai 152 murid dan 35 guru dari 19 sekolah menengah di Kemaman menyertai Perkhemahan Satria Muda MADANI Peringkat Daerah Kemaman 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 19 Ogos hingga hari ini.
- Program dianjurkan bersama IPD Kemaman dan PPD Kemaman di Nomadix Camper Park dengan kerjasama sekolah menengah daerah.
- Perkhemahan melibatkan Kor Kadet Polis bagi pembangunan sahsiah, jati diri dan kepimpinan melalui aktiviti mencabar fizikal dan mental.
- Perasmian disempurnakan Ketua Polis Daerah Mohd Razi Rosli; pegawai pendidikan turut hadir dan menekankan disiplin, keberanian dan kerjasama.
- SMK Sultan Ismail II juara keseluruhan; SMK Felda Neram naib juara, SMK Geliga ketiga; pemenang kawad kaki Ahmad Muhaimin dan Nur Aishah.
Program yang berlangsung di Nomadix Camper Park, Telaga Simpul, Bukit Kuang itu dianjurkan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman dengan kerjasama sekolah-sekolah menengah di daerah berkenaan.
Perkhemahan tersebut merupakan program pembangunan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang melibatkan penyertaan Kor Kadet Polis Sekolah Daerah Kemaman menerusi pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, dan turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan.
Dalam ucapan perasmiannya, Superintendan Mohd Razi berkata, program itu bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, malah menjadi platform terbaik untuk membentuk disiplin, kepimpinan, keberanian, kerjasama, ketahanan diri dan semangat setia kawan dalam kalangan peserta.
“Sepanjang program, para peserta menyertai pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental bagi membentuk jati diri serta memupuk keberanian untuk keluar daripada zon selesa.
“Selain itu, program ini turut bertujuan membentuk imej pasukan beruniform yang berdisiplin, beretika dan berintegriti menerusi pelbagai aktiviti yang mencabar minda dan fizikal peserta,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama padu semua jurulatih, guru dan pihak yang sentiasa memberikan sokongan dalam usaha membentuk disiplin serta wawasan dalam kalangan peserta.
Dalam pertandingan yang diadakan sepanjang perkhemahan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail II muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti SMK Felda Neram sebagai naib juara, manakala SMK Geliga menduduki tempat ketiga.
Bagi pertandingan Kawad Kaki, Ahmad Muhaimin Khairul Hafiz dari SMK Sultan Ismail II muncul juara kategori Lelaki, manakala Nur Aishah Hassan dari SMK Sultan Ismail menjuarai kategori Wanita.