TH: Polis buka lima kertas siasatan, 127 individu dirakam keterangan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes-kes yang melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) , termasuk perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dijalankan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta TH 1995, Akta Syarikat 1965 dan AMLATFPUAA.
  • Setakat ini 127 individu telah dirakam keterangan; beberapa lagi saksi, termasuk dari luar negara, akan dipanggil.
  • PDRM komited menjalankan siasatan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
  • Orang ramai dinasihat tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih; rujuk saluran rasmi untuk perkembangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan, Akta TH 1995, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Datuk Rusdi berkata dalam satu kenyataan, setakat ini seramai 127 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan beberapa lagi saksi akan dipanggil, termasuk saksi dari luar negara.

Beliau menegaskan PDRM komited memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam masa sama, Datuk Rusdi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan siasatan yang sedang berjalan.

“Sebarang penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta boleh mengelirukan masyarakat serta berpotensi menjejaskan proses siasatan,” katanya.

PDRM menyeru orang ramai mendapatkan perkembangan kes hanya menerusi saluran rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.