
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Muzium Tekstil Merdeka (MTM) di bangunan Look At 118 di sini hari ini.
- MTM mengangkat tema 'The Malay World in Threads and Tales' dengan aspirasi menjadi muzium tekstil terkemuka Asia dan pusat rujukan global tekstil Alam Melayu.
- PNB menunjukkan komitmen memelihara warisan, kisah dan identiti budaya untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
- Muzium memaparkan evolusi tekstil Alam Melayu melalui budaya benda, seni pertukangan, simbolisme, kerohanian, politik, kesusasteraan dan masa depan tradisi tekstil.
- Koleksi peribadi Azah Aziz antara tarikan utama, merangkumi 240 busana dan 69 barangan perhiasan tradisional seperti songket, baju kurung limar dan tekat emas.
Muzium yang dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) mengangkat tema ‘The Malay World in Threads and Tales‘ dengan aspirasi menjadi muzium tekstil terkemuka di Asia serta pusat rujukan global berkaitan tekstil Alam Melayu.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, penubuhan MTM mencerminkan komitmen PNB dalam memelihara warisan, kisah dan identiti bersama rakyat Malaysia untuk generasi akan datang.
“Muzium ini membawa pengunjung menelusuri evolusi tekstil Alam Melayu menerusi aspek budaya benda, seni pertukangan, simbolisme, kerohanian, politik, kesusasteraan serta masa depan tradisi tekstil.
“Kami berharap dapat berkongsi keindahan dan kehalusan seni tekstil Alam Melayu, di samping memastikan warisan luar biasa ini terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Tambah beliau, Merdeka 118 bukan sekadar mercu tanda seni bina, malah platform untuk mengangkat warisan dan budaya negara.
Sementara itu, Raja Tan Sri Arshad berkata koleksi peribadi tokoh budaya dan warisan seni negara, Allahyarham Azah Aziz menjadi antara tarikan utama MTM merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional seperti sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas.
MTM kini dibuka untuk kunjungan orang ramai dengan pendaftaran perlu dibuat terlebih dahulu menerusi laman sesawang merdekatextile.com atau media sosial Merdeka Textile Museum.