
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 antara Malaysia dengan Brunei.
- Rundingan Pemimpin Tahunan adalah mekanisme dua hala tertinggi untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama Malaysia dengan Brunei.
- Datuk Seri Anwar dan Sultan Brunei dijangka menilai kemajuan kerjasama, pelaksanaan projek dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
- MoU Kerjasama Pengurusan Bencana akan ditandatangani dan disaksikan pemimpin; perdagangan dua hala 2025 direkodkan RM5.86 bilion.
Ketibaan Datuk Seri Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira pukul 6.10 petang tadi disambut oleh Menteri Hal Ehwal Luar Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen serta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Rundingan Pemimpin Tahunan merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dengan Brunei yang menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama kedua-dua negara.
Semasa rundingan itu, Datuk Seri Anwar dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, dijangka menilai kemajuan hubungan serta pelaksanaan pelbagai bentuk kerjasama dua hala.
Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan yang akrab dan istimewa sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1984.
Sebagai negara jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Dalam pada itu, satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pengurusan Bencana akan ditandatangani oleh menteri berkaitan dari Malaysia dan Brunei dengan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Sultan Brunei.
Dari segi ekonomi, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brunei direkodkan sebanyak RM5.86 bilion pada 2025.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Brunei bernilai RM4.20 bilion, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM1.66 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, nilai perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah RM2.38 bilion, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-Brunei yang terus kukuh serta berdaya tahan.