Pegawai awam, pesara nikmati potongan harga di Giant Destina Putrajaya hingga 31 ogos

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Ogos Pegawai awam dan pesara kerajaan berpeluang menikmati potongan harga hingga 50 peratus bagi pembelian produk makanan dan minuman terpilih di Uncle Jack Fried Chicken, Kyojin Sushi dan Mercato Café & Bakery di Giant Destina Putrajaya, hingga 31 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai awam tunjuk pas pekerja; pesara kemukakan kad pesara fizikal atau kad digital melalui aplikasi MyPesara.
  • Kerjasama dengan GCH Retail memperluas rangkaian strategik bawah inisiatif MyPesara Plus.
  • MyPesara Plus diperkenalkan JPA pada 24 Julai dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
  • MyPesara Plus kini menghimpunkan 33 rakan strategik; maklumat tawaran boleh diakses melalui aplikasi MyPesara.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan tawaran istimewa oleh GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd itu diberi bersempena dengan pembukaan rasmi Giant Hypermarket di Destina Putrajaya pada 13 Ogos lepas sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti dan sumbangan pegawai awam dan pesara kerajaan kepada negara.

“Bagi menikmati tawaran berkenaan, pegawai awam hanya perlu menunjukkan pas pekerja, manakala pesara kerajaan boleh mengemukakan kad pesara kerajaan fizikal atau kad pesara digital melalui aplikasi MyPesara.

“Kerjasama dengan GCH Retail (Malaysia) turut memperluas jaringan strategik di bawah MyPesara Plus, inisiatif JPA yang memberikan akses kepada pesara kerajaan untuk menikmati pelbagai manfaat dan keistimewaan hasil kerjasama dengan rakan strategik,” menurut kenyataan itu.

MyPesara Plus diperkenalkan JPA pada 24 Julai lepas dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebagai usaha memperluas manfaat kepada pesara kerajaan menerusi penyertaan sektor swasta, sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sejak diperkenalkan, MyPesara Plus kini menghimpunkan 33 rakan strategik yang menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pesara kerajaan dalam bidang termasuk makanan dan minuman, kesihatan, perlindungan dan perkhidmatan lain.

Pesara kerajaan boleh mendapatkan maklumat tentang tawaran dan keistimewaan terkini daripada rakan strategik melalui aplikasi MyPesara, sekali gus menjadikan platform tersebut sebagai saluran yang lebih mudah untuk mengakses manfaat yang disediakan.

“JPA akan terus meneroka kerjasama dengan sektor swasta, sektor awam dan badan bukan kerajaan bagi membangunkan ekosistem manfaat pesara yang lebih menyeluruh, inklusif dan mampan selaras dengan usaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan pesara kerajaan terus diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.