KKR sasar sifar projek sakit, 97 peratus siap ikut jadual

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama penerima projek pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Perumahan di Menara Kerja Raya hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan sifar projek sakit, di samping memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan tanpa menjejaskan aspek kos dan kualiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • 97 peratus projek KKR dan JKR disiapkan mengikut jadual; beberapa projek siap sehingga setahun lebih awal.
  • Daripada 871 projek pembinaan, hanya 36 dikenal pasti menghadapi masalah, menunjukkan isu projek sakit terhad.
  • KKR dan JKR melaksanakan pemantauan ketat mengikut SOP untuk pastikan kos, kualiti dan isu projek ditangani segera.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini terdapat 871 projek sedang dalam pembinaan di seluruh negara, dengan hanya 36 daripadanya dikenal pasti menghadapi masalah.

“Sekarang kita ada 871 projek di seluruh negara dalam pembinaan. Hanya 36 projek daripada 871 yang bermasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Penguasa bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan perumahan, di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, sasaran untuk menyiapkan sesuatu projek lebih awal tidak seharusnya menjadi ukuran kejayaan sekiranya aspek kos dan kualiti tidak dipenuhi.

“Kita tidak rasa bangga hanya kerana projek siap lebih awal kerana kita mahu mengambil kira kos dan kualiti sesuatu projek itu.

“Maknanya, projek mesti disiapkan dalam kos yang telah ditetapkan dan juga mengikut spesifikasi kualiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Datuk Seri Alexander berkata, 97 peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya disiapkan mengikut jadual, malah terdapat projek yang dapat disiapkan sehingga setahun lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Katanya, KKR dan JKR turut melaksanakan pemantauan ketat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kemajuan setiap projek dapat dipantau dengan rapi serta sebarang isu ditangani segera.

Beliau berkata, isu projek sakit bukan sahaja boleh meningkatkan kos, malah menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek serta melambatkan penyampaian manfaat kepada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Alexander berkata, projek pembinaan IPK Perak yang bernilai hampir RM366 juta mempunyai tempoh pembinaan selama 42 bulan dan dijangka siap pada Februari 2030.

Projek yang terletak di Bandar Meru, Ipoh itu meliputi kawasan seluas 25 ekar dan merupakan antara projek strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkasakan kemudahan serta operasi keselamatan negara.

Selain pembinaan kompleks IPK, projek berkenaan turut merangkumi penyediaan kuarters untuk keluarga warga polis serta pelbagai kemudahan bagi meningkatkan keberkesanan penugasan dan kawalan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.