ACWL: Sabah FA teruskan momentum kemenangan

Foto RTM

KOTA KINABALU, 21 Ogos – Skuad bola sepak wanita Sabah FA meneruskan rentak kemenangan pada pusingan kelayakan Liga Juara Wanita AFC (ACWL) 2026/27 selepas menewaskan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Likas, malam tadi (Khamis).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah kini mengumpul enam mata selepas dua kemenangan berturut turut dan menduduki tangga kedua Kumpulan A.
  • Enzi Hekima menggandakan jaringan Sabah dengan dua gol pada minit ke-40 dan ke-80.
  • Perlawanan terakhir Kumpulan A menentang East Bengal pada 23 Ogos akan menentukan juara kumpulan dan slot ke peringkat kumpulan ACWL.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan berkenaan dan kini mengumpul enam mata.

Sabah membuka jaringan menerusi Enzi Hekima pada minit ke-40 sebelum pemain itu sekali lagi menggandakan kelebihan pada minit ke-80.

Rajshahi Stars bagaimanapun merapatkan jurang menerusi Most Sultana pada minit ke-87.

Sabah berjaya mempertahankan kelebihan berkenaan sehingga tamat permainan.

Ketua Jurulatih Sabah FA Bobby Gonzales berkata, kemenangan itu diraih hasil semangat juang tinggi pemain yang terus memberikan komitmen sehingga wisel penamat.

“Kita bernasib baik untuk menang kerana kita mempunyai peluang.

“Namun, dari segi persembahan, saya memuji para pemain kerana mereka menunjukkan semangat, berhati-hati sehingga minit terakhir dan terus berjuang untuk menang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Rajshahi Stars FC, Golam Robbani menyifatkan anak buahnya berjaya mempamerkan penguasaan permainan serta berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.

Namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan pasukan berkenaan tewas.

“Pemain kami beraksi dengan baik, mengawal permainan selama 90 minit dan menunjukkan intensiti tinggi.

“Mereka memberikan yang terbaik serta mencipta banyak peluang, tetapi kami perlu memperbaiki aspek penyudah,” katanya.

Sabah kini berada di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata, berkongsi jumlah mata dengan East Bengal FC dari India yang turut mencatat dua kemenangan.

Sabah dan East Bengal akan bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan A pada 23 Ogos ini bagi menentukan juara kumpulan sekali gus merebut slot ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2026/27.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.