
CINCINNATI, 21 Ogos – Pemain ranking kedua dunia, Elena Rybakina terpaksa menarik diri pada suku akhir Cincinnati Masters selepas gagal meneruskan aksi ketika ketinggalan 1-4 kepada Iga Swiatek pada set pertama, awal pagi tadi.
- Iga Swiatek akan berdepan pilihan ketiga Jessica Pegula dalam separuh akhir.
- Kecederaan tumit Rybakina menimbulkan kebimbangan menjelang Terbuka AS, hanya 10 hari lagi.
- Kekalahan Aryna Sabalenka kepada Sara Bejlek menambah kekecewaan juara Grand Slam itu.
Pemain Kazakhstan itu tiba-tiba menghentikan permainan selepas tidak mengalami kecederaa tumit sebelum mendapatkan rawatan daripada jurulatih kecergasan.
Bagaimanapun, Rybakina hanya mampu meneruskan permainan untuk satu mata sebelum memutuskan untuk menarik diri dan sekali gus memberi laluan kepada pilihan kedua kejohanan, Swiatek mara ke separuh akhir.
Swiatek, juara Grand Slam dua kali, seterusnya akan berdepan pilihan ketiga, Jessica Pegula, yang menewaskan Amanda Anisimova 6-4, 2-6, 7-6 (7-4) dalam satu lagi aksi suku akhir.
Kecederaan Rybakina hadir hanya 10 hari sebelum Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kecergasannya menjelang Grand Slam berkenaan.
Sekiranya Rybakina berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Cincinnati, dia berpeluang menduduki ranking nombor satu dunia buat kali pertama dalam kariernya susulan penyingkiran pilihan utama, Aryna Sabalenka, pada pusingan 16 terakhir.
Sabalenka dari Belarus sebelum itu dikejutkan pemain Czech, Sara Bejlek yang berada di ranking ke-35 dunia dalam perlawanan sengit yang berakhir awal pagi Khamis.
Kekalahan itu menambah satu lagi kekecewaan buat juara Grand Slam empat kali berkenaan.
“Saya berasa cemas hanya dengan melihat keadaan itu. Saya harap dia tidak mengalami kecederaan serius. Sudah tentu kejohanan seterusnya menjadi keutamaan,” kata Swiatek.
“Saya tahu kejohanan ini juga penting, tetapi Terbuka AS tetap Terbuka AS dan saya harap dia bersedia untuk itu.
“Dia juga sangat hampir untuk menjadi pemain nombor satu dunia, jadi amat mengecewakan,” ujarnya. – AFP