KKR perkukuh pantau projek pembangunan fizikal, kekang projek sakit

Datuk Seri Dr Ahmad Maslan (tiga, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Bil 3/2026 hari ini./ Foto BERNAMA

AYER KEROH, 20 Ogos – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh pemantauan projek pembangunan fizikal bagi memastikan projek infrastruktur rakyat dapat disiapkan mengikut jadual, berkualiti dan selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran KKR: sifar projek sakit, tingkatkan projek siap lebih awal (AOT) dan pastikan sifar kemalangan di tapak pembinaan.
  • 2,433 projek bernilai RM133.89 bilion diamanahkan kepada JKR; 43% pra-pembinaan, 35% berada dalam fasa pembinaan.
  • Daripada 871 projek pembinaan, 560 (64.29%) berjalan lancar, 256 awal AOT dan 304 mengikut jadual.
  • Trend projek sakit turun daripada 6.81% pada Jun 2025 kepada 4.13% kini; JKR menyiapkan 118 projek dengan CPC bernilai RM4.187 bilion.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata langkah itu selaras sasaran kementerian untuk mencapai sifar projek sakit, meningkatkan projek yang disiapkan lebih awal (AOT) serta memastikan sifar kemalangan di tapak pembinaan.

“Setakat 30 Julai lepas, sebanyak 2,433 projek fizikal pembinaan bernilai RM133.89 bilion telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Daripada jumlah itu, 1,050 projek atau 43 peratus berada pada peringkat pra-pembinaan, manakala 871 projek atau 35 peratus dalam fasa pembinaan,” ujarnya.

Jelasnya, daripada 871 projek yang sedang dalam pembinaan, 560 projek atau 64.29 peratus berjalan lancar, manakala 256 projek berada dalam kategori awal daripada jadual AOT dan 304 projek lagi mengikut jadual.

“Penyebab utama yang mempengaruhi jadual pelaksanaan projek adalah isu kontraktor sebanyak 81 peratus kelemahan pengurusan projek, masalah aliran kewangan serta isu kekurangan tenaga kerja, bahan binaan di tapak, isu lain adalah 19 peratus melibatkan pengambilan tanah, bayaran pampasan, masalah kelulusan, kelewatan pengalihan utiliti air, elektrik, pembentungan, telekomunikasi, cuaca dan bencana alam,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 3 Tahun 2026 di Seri Negeri di sini.

Beliau menambah, pemantauan secara berterusan oleh JKR dan KKR membantu menyelesaikan isu berbangkit termasuk trend projek sakit menunjukkan penurunan daripada 6.81 peratus pada Jun 2025 kepada 4.13 peratus setakat ini.

“JKR berjaya menyiapkan 118 projek fizikal pembinaan dan memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dengan nilai keseluruhan projek RM4.187 bilion melibatkan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-12,” tambah beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.