Malaysia kekal dengan Dasar Satu China, utamakan penyelesaian aman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Dasar Malaysia yang berpegang kepada prinsip “Dasar Satu China” bukan pendirian baharu, sebaliknya telah menjadi dasar negara sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menegaskan penyelesaian secara aman perlu menjadi keutamaan dalam isu Taiwan.
  • Kerajaan menghormati prinsip integriti wilayah dan selari dengan pengiktirafan PBB terhadap China.
  • Malaysia menghormati pendirian China sambil menyokong usaha dialog bagi mencari penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian itu kekal menjadi dasar Malaysia dan selari dengan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terhadap China sebagai sebuah negara.

Beliau berkata kenyataannya berhubung Taiwan dibuat berdasarkan pendirian Malaysia terhadap prinsip integriti wilayah sesebuah negara, selain menegaskan bahawa penyelesaian secara aman perlu terus menjadi keutamaan.

“Dasar Satu China itu sejak Almarhum Tun Abdul Razak Hussein. Jadi, saya berpendapat dasar itu kekal, kita utamakan. Tentunya pendirian Malaysia kita cari jalan damai.”

“Amerika sejak ratusan tahun dulu bila ada Perang kemerdekaan, dia tak izinkan perpecahan mana-mana negara pun. Jadi oleh itu, saya hanya ikut yang konsisten.”

“Sebab itu kalau tengok dalam peta negara, China itu hanya satu. Yang satu lagi tu diletakkan entiti Taiwan begitu sahaja. Jadi tidak ada pengiktirafan, jadi bukan perkara baharu ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tiktok Shop Summit di ibu negara.

Beliau berkata Malaysia menghormati pendirian China dalam isu berkenaan, namun pada masa sama menyokong usaha mencari penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas reaksi negatif daripada pihak Taiwan susulan kenyataannya dalam satu wawancara bersama media antarabangsa, Al Jazeera, baru-baru ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.