
GAZA, 19 Ogos – Pegawai kesihatan Gaza mengesahkan, serangan tentera Israel ke atas ibu pejabat polis perbandaran di Gaza City mengorbankan sembilan orang pada Rabu.
Serangan di wilayah Palestin itu berterusan sejak beberapa hari lalu, meskipun Amerika Syarikat memperbaharui usaha untuk menjayakan pelan keamanan jangka panjang bagi Gaza.
Hospital Al-Shifa, melaporkan menerima sembilan mayat, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, serta sekurang-kurangnya 20 orang yang cedera susulan serangan di Gaza City itu.
Agensi pertahanan awam wilayah berkenaan, yang beroperasi sebagai perkhidmatan penyelamat di bawah Hamas, mengesahkan angka korban tersebut.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa serangan ke atas ibu pejabat polis itu menyasarkan seorang komander Hamas yang dikatakan merancang untuk melancarkan serangan terhadap tentera Israel di wilayah berkenaan.
Tentera Israel turut mendakwa menyerang seorang komander sayap tentera Hamas di kawasan Nuseirat di bahagian tengah Semenanjung Gaza.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam apa yang disifatkannya sebagai “sikap tidak menghiraukan sepenuhnya semua seruan gencatan senjata” oleh Israel.
Beliau berkata Lembaga Keamanan pimpinan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelan gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober lalu, “memikul tanggungjawab terhadap peningkatan ketegangan ini kerana gagal melaksanakan kewajipannya dengan memberi tekanan kepada pihak pendudukan” supaya mematuhi komitmennya.
Utusan Trump, Jared Kushner, pada Isnin berkata usaha ke arah melucutkan senjata Hamas dan meneruskan pelan keamanan Gaza boleh dimulakan dalam tempoh sebulan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Benjamin Netanyahu. – AFP