Tiga edisi menanti, Qisvena akhirnya raih emas SUKMA 2026

Foto RTM

KAJANG, 19 Ogos Penantian tiga edisi akhirnya berbaloi buat atlet angkat berat Johor, Qisvena Abdullah apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori wanita bawah 77 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melakukan angkatan keseluruhan 180kg, mengatasi wakil Pahang (175kg) dan Perak (173kg).
  • Kejayaan melengkapkan koleksi pingat selepas meraih perak dan gangsa pada dua penyertaan SUKMA sebelum ini.
  • Berlatih secara bersendirian sejak Mac sambil mengikuti pengajian Pengurusan Perniagaan di UiTM Segamat.
  • Menerima ganjaran RM10,000 daripada Majlis Sukan Negeri Johor dan mensasarkan tempat dalam Sukan SEA 2027 Sarawak.

Qisvena muncul juara selepas melakukan angkatan keseluruhan 180kg, mengatasi wakil Pahang, Wardina Husna Abdullah yang meraih perak dengan 175kg, manakala atlet Perak, Balqis Syakirah Badrol Hisham membawa pulang gangsa selepas mengumpul 173kg.

Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan koleksi pingat Qisvena dalam dua penyertaan SUKMA sebelum ini yang melayakkannya memenangi pingat perak dan gangsa.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata, pencapaian berkenaan cukup bermakna selepas melalui cabaran latihan secara bersendirian sejak Mac lalu, susulan melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat.

Qisvena menyifatkan angkatan keseluruhannya hari ini adalah pencapaian terbaik sepanjang kariernya.

“Sebenarnya, saya tidak pernah mengangkat beban seberat 105 kilogram sebelum ini. Saya pernah melakukan clean, tetapi belum pernah berjaya melakukan ‘jerk’. Namun, hasil sokongan ramai pihak, saya akhirnya berjaya melakukan aksi tersebut hari ini.

Dengan ganjaran RM10,000 daripada Majlis Sukan Negeri Johor juga menjadi dorongan kepada saya dan tidak mahu mensia-siakan peluang terakhir ini. Jika saya mensia-siakan harapan yang diberikan, seolah-olah segala usaha saya selama ini tidak bermakna,” katanya ketika ditemui media.

Qisvena yang mula menceburi sukan angkat berat ketika berusia 14 tahun kini menyasarkan peluang mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027 di Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.