
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kementerian Kerja Raya memohon peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2027 berbanding sebelum ini dalam memastikan agenda pembangunan infrastruktur negara terus diperkasa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berharap kementerian terbabit terus kekal sebagai antara penerima utama agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) dalam belanjawan tahunan kerajaan.
“Saban tahun daripada 28 kementerian, Kementerian Kerja Raya diperuntukkan bajet pembangunan yang terbesar, dibandingkan 27 kementerian yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia ke-13 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Wilayah Asia-Pasifik keenam di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad berkata, sektor pembinaan pada suku kedua 2026, meningkat berbanding tempoh sama, tahun sebelum ini.
“Saya ingin maklumkan bahawa sektor pembinaan diumum oleh DOSM untuk suku kedua 2026 meningkat 8.5 peratus dibanding dengan tempoh sama pada suku kedua 2025 berjumlah RM46.5 bilion.
“Ini menunjukkan ekonomi kita berkembang dengan baik. Sektor pembinaan ini melibatkan pembinaan bangunan, pembinaan lebuh raya, pembinaan jalan raya, pembinaan jambatan, pembaikan cerun. Itu adalah antara komponen utama dalam sektor pembinaan”, katanya.
Persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa itu dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.