Ibu bayi positif dua bahan terlarang dakwa ambil ubat penenang semasa hamil

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat / Foto Fail BERNAMA

KOTA BHARU, 19 Ogos – Ibu kepada bayi perempuan berusia lima hari yang disahkan positif dua bahan terlarang mendakwa mengambil ubat penenang ‘benzodiazepine’ bagi merawat masalah keresahan ketika sedang hamil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua bahan terlarang, amfetamin dan benzodiazepine, dikesan dalam air kencing bayi.
  • Saringan air kencing bayi dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada Ogos lalu.
  • Siasatan mendapati bayi dipercayai terdedah kepada bahan berkenaan ketika masih dalam kandungan.
  • Wanita ditahan untuk membantu siasatan, polis belum dapat mengesahkan sama ada dia penagih dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil ujian air kencing terhadap wanita itu setakat ini hanya mengesan ‘benzodiazepine’.

“Ibu dia kita dah buat ujian air kencing. Benzo ini, dia beritahu diambil untuk masalah keresahan. Apabila ujian air kencing dibuat, keluar benzo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis dan Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Siasatan turut tertumpu kepada punca bayi berkenaan disahkan positif ‘amfetamin’ dan ‘benzodiazepine’.

Terdahulu, dua bahan terlarang itu dikesan menerusi saringan air kencing bayi berkenaan di Hospital Raja Perempuan Zainab  (HRPZ) II pada Ogos lalu.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati bayi itu dipercayai terdedah kepada bahan berkenaan ketika masih dalam kandungan.

Wanita itu sudah ditahan bagi membantu siasatan, namun polis belum dapat mengesahkan sama ada dia seorang penagih dadah atau sebaliknya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.