
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kapasiti penggunaan industri pembuatan negara mencapai 83.7 peratus pada suku kedua 2026, meningkat 1.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
- Subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain catat kadar tertinggi 87.2%, produk elektrik dan elektronik 85.3%.
- Kapasiti penggunaan bulanan meningkat tahun ke tahun: April 82.9%, Mei 83.5% dan Jun 84.5%.
- Kapasiti penggunaan bagi eksport naik 1.3% disokong subsektor pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta produk plastik.
- Faktor mengehadkan penggunaan penuh: permintaan rendah, bekalan bahan tidak mencukupi serta kerja pembaikan dan penyelenggaraan mesin.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan itu didorong oleh kesemua subsektor yang merekodkan kadar kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus.
“Pada suku ini, subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain mencatat kadar tertinggi sebanyak 87.2 peratus, meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun, diikuti subsektor produk elektrik dan elektronik pada 85.3 peratus, naik 2.6 peratus,” menurut kenyataan itu.
Menurut DOSM, prestasi kapasiti penggunaan bulanan turut mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sepanjang suku kedua 2026, masing-masing 82.9 peratus pada April, 83.5 peratus pada Mei dan 84.5 peratus pada Jun.
Tambah jabatan itu, kapasiti penggunaan bagi eksport meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 82.9 peratus, disokong oleh subsektor pembuatan komputer, diikuti produk elektronik dan optikal dan pembuatan produk plastik.
Bagaimanapun, tiga industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus, iaitu pembuatan kayu, produk kayu dan gabus kecuali perabot serta artikel jerami dan bahan anyaman pada 75.3 peratus, diikuti pembuatan tekstil, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan.
Sementara itu, kapasiti penggunaan industri domestik meningkat 0.8 mata peratus tahun ke tahun kepada 85.2 peratus.
“Antara industri yang mencatat kadar tinggi ialah pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 90.9 peratus, meningkat 2.7 mata peratus, manakala pembuatan logam asas merekodkan 81.4 peratus,” menurutnya lagi.
Namun, pembuatan kertas dan produk kertas mencatat kadar terendah dalam segmen berorientasikan domestik pada 77.1 peratus.
Mengulas lanjut, DOSM memaklumkan sembilan negeri dan wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kapasiti penggunaan melebihi kadar nasional, dengan Labuan mencatat kadar tertinggi sebanyak 96.2 peratus, diikuti Melaka (89.1 peratus) dan Selangor (86.9 peratus).
“Negeri lain ialah Pahang pada 85.6 peratus, Terengganu (85.5 peratus), Johor (85.1 peratus), Kedah (85.0 peratus), Negeri Sembilan (84.6 peratus) dan Sabah (84.1 peratus). Selain itu, Perlis pula merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 57.8 peratus,” jelas DOSM.
DOSM berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan ialah permintaan yang rendah, bekalan bahan yang tidak mencukupi serta kerja pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan kelengkapan.