
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Penyerang berusia 14 tahun, Lim You mencuri tumpuan selepas meledak tujuh gol untuk membantu skuad Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17) membelasah Arab Saudi 9-0 pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Srikandi Merdeka 2026 di Kudus, Indonesia semalam.
- Lim You mempamerkan penyudah mantap melalui sepakan percuma dan rembatan dari luar kotak penalti, tular di media sosial.
- Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
- Pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Pillay dilayangkan kad merah pada minit ke-21.
- Juara Kumpulan B menanti Malaysia di separuh akhir, dengan Thailand, Jordan dan Singapura masih berpeluang.
Memiliki ketinggian 165 sentimeter (cm), Lim You mempamerkan keupayaan penyudahnya menerusi sepakan percuma yang hebat dan rembatan dari luar kotak penalti manakala video jaringan itu turut mendapat perhatian di media sosial.
Lim You menjaringkan gol pada minit kelapan, ke-22, ke-27, ke-57, ke-75 menerusi sepakan penalti serta minit ke-83 dan ke-85 manakala Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani dan Ku Nur Qaleysha Qaisara Ku Zainon melengkapkan kemenangan besar skuad negara menerusi jaringan masing-masing pada minit ke-45+5 dan ke-90+2.
Malaysia yang dibimbing Fairuz Montana Zainal Abidin terus mendominasi permainan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dishanna Pillay dilayangkan kad merah pada minit ke-21.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan A dengan empat mata, berkongsi kedudukan dengan Hong Kong tetapi mara ke separuh akhir berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
Malaysia sebelum itu membuka kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Hong Kong sebelum tewas 0-3 kepada tuan rumah Garuda Pertiwi.
Menanti Malaysia pada aksi separuh akhir Jumaat ini ialah juara Kumpulan B, dengan Thailand, Jordan dan Singapura masih berpeluang merebut kedudukan itu menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.
Piala Srikandi Merdeka ialah kejohanan bola sepak wanita B-16 antarabangsa yang diwujudkan bagi memberi peluang kepada pemain wanita muda untuk beraksi, berkembang dan mendapat pendedahan di pentas antarabangsa. – BERNAMA