
ALOR SETAR, 19 Ogos – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempergiat pemantauan dan penyelarasan bagi mempercepatkan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja Padi 3) kepada kira-kira 38,000 pesawah di kawasan Muda.
- Pembekalan bermula 11 Jun, tetapi ketidakcukupan bekalan menjejaskan kelancaran pengedaran baja kepada pesawah.
- Hanya 137,560 beg (22%) diterima; baki 478,455 beg diperlukan untuk 78,117 hektar tanaman.
- MADA mempertingkat penyelarasan dan bertindak menurut terma kontrak untuk memulihkan bekalan; media lapor 40,000 daripada 60,000 belum terima, risaukan hasil.
Menurut MADA, pembekalan baja itu di kawasan Muda bagi Musim 1/2026 bermula pada 11 Jun lalu, namun ketidakcukupan bekalan pada tempoh tertentu menjejaskan kelancaran pengedaran baja berkenaan kepada pesawah.
“Sehingga semalam, sebanyak 137,560 beg atau 22 peratus daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg baja berkenaan telah diterima MADA untuk diagihkan kepada pesawah.
“Manakala, baki 478,455 beg baja tersebut masih diperlukan bagi memenuhi keperluan pesawah melibatkan keluasan tanaman sekitar 78,117 hektar.
“Setakat semalam, sebanyak 15,200 beg baja sebatian tambahan yang diterima telah dibekalkan,” menurut kenyataan itu.
MADA memaklumkan bahawa ketidakcukupan bekalan pada tempoh tertentu memberi kesan kepada kelancaran pengedaran baja berkenaan di lapangan.
Sehubungan itu, MADA telah mengambil langkah sewajarnya selaras dengan obligasi dan terma kontrak yang ditetapkan, selain mempertingkatkan penyelarasan bersama pihak berkaitan bagi memastikan bekalan dipulihkan dan disalurkan kepada pesawah secara berperingkat.
Rabu lalu, media melaporkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima baja tambahan, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi pada musim ini.