
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) berpotensi melahirkan mahasiswa yang lebih matang dalam berpolitik, kritikal terhadap dasar awam serta bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin.
- Pemansuhan membuka universiti sebagai ruang dinamik untuk penglibatan intelektual dan proses pendemokrasian.
- Pelajar boleh menjadi calon, menyertai parti, menghadiri ceramah, memupuk perbahasan dasar dan pendidikan politik.
- Kebebasan politik mesti disertai rasa tanggungjawab dan akauntabiliti untuk elak penyalahgunaan dan budaya politik populis di kampus.
- Kerangka perundangan baharu perlu dirangka jelas bagi mengimbangi kebebasan mahasiswa dengan tadbir urus, integriti akademik dan keselamatan kampus.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, langkah itu juga boleh menjadikan universiti sebagai ruang lebih dinamik untuk penglibatan intelektual dan proses pendemokrasian.
Beliau berkata, universiti tidak seharusnya hanya dilihat sebagai institusi yang melindungi mahasiswa daripada politik, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka memahami, mengurus dan mengamalkan politik secara rasional, bertanggungjawab serta berlandaskan ilmu.
“Pemansuhan AUKU berpotensi membuka ruang pelajar menjadi calon, menyertai parti politik, menghadiri ceramah dan menjadi ahli mana-mana parti. Jika ini diperluaskan, ia membolehkan perbahasan mengenai dasar, aktiviti parti, pendidikan politik dan proses pendemokrasian menjadi lebih besar.
“Ini sebenarnya boleh membuka ruang kepada universiti sebagai makmal demokrasi, tempat mahasiswa belajar, mengemukakan hujah, berbeza pandangan, berkempen dan menerima apa sahaja keputusan secara matang,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata, perkembangan itu merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan yang telah dilaksanakan secara berterusan terhadap AUKU, namun kebebasan politik perlu disertai rasa tanggungjawab bersama.
Menurutnya, pemansuhan AUKU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pemansuhan disiplin, sebaliknya peralihan daripada budaya kawalan kepada budaya berfikir yang lebih terbuka, dengan disokong nilai tanggungjawab dan akauntabiliti.
Katanya, kebebasan tanpa disiplin dan rasa tanggungjawab pula berpotensi disalahgunakan sehingga mewujudkan budaya politik populis di kampus.
Pada masa sama, beliau berpandangan sebarang kerangka perundangan baharu yang menggantikan AUKU perlu dirangka dengan jelas bagi mengimbangi kebebasan mahasiswa dengan keperluan tadbir urus universiti.
Kerangka itu, katanya, penting bagi memastikan integriti akademik, keselamatan, kebajikan mahasiswa dan pengurusan kampus terus terpelihara.