Reformasi ekonomi perlu dilaksana, demi manfaat jangka panjang negara

Foto RTM

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Usaha menstruktur semula ekonomi bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila melibatkan pelaksanaan dasar yang kurang popular.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reformasi termasuk penyasaran subsidi elektrik, peluasan skop SST dan pelaksanaan e-Invois berfasa untuk manfaat jangka panjang serta ketelusan fiskal.
  • Prestasi ekonomi kukuh dengan pertumbuhan KDNK, pelaburan diluluskan tinggi dan ringgit stabil menyokong konsolidasi hasil negara.
  • Kerajaan tingkatkan bantuan bersasar melalui STR, SARA, Jualan Rahmah dan BUDI MADANI Diesel untuk meredakan tekanan kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun, jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah berkenaan perlu dilaksanakan demi manfaat jangka panjang negara dan kesejahteraan rakyat.

Antara reformasi yang dilaksanakan ialah penyasaran subsidi elektrik sejak 2023, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa.

“Sering kali dasar yang diperkenalkan tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana manfaat jangka panjang yang lebih besar kepada negara dan kesejahteraan rakyat.” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini.

Tambah beliau, program penyasaran subsidi elektrik yang ditambah baik secara berfasa terbukti tidak menjejaskan majoriti rakyat apabila 85 peratus pengguna domestik kekal dilindungi.

Langkah itu turut menyokong kemampanan sektor tenaga negara.

Peluasan skop SST pula menunjukkan impak positif terhadap konsolidasi hasil negara tanpa menjejaskan kuasa beli dalam pasaran domestik, menerusi pendekatan progresif berasaskan prinsip keadilan sosial.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata, pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa kini menjadi tunjang kepada usaha meningkatkan ketelusan ekosistem perniagaan negara.

“Sistem itu bukan bertujuan membebankan, sebaliknya membantu mengecilkan saiz ekonomi bayangan, meningkatkan kecekapan taksiran serta mempercepat proses tadbir urus percukaian domestik,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama dan enam peratus pada suku kedua 2026.

Prestasi itu menjadikan pertumbuhan ekonomi keseluruhan bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 5.7 peratus, melepasi julat unjuran Bank Negara Malaysia antara empat hingga lima peratus.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia daripada 4.3 peratus pada Januari kepada 4.7 peratus pada April lalu dan mengekalkannya dalam unjuran terkini pada Julai.

Selain nilai ringgit yang kekal stabil sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah pelaburan diluluskan pada 2025 mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah, sebanyak RM431.1 bilion atau meningkat 11 peratus.

Pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2026 pula kekal mampan pada RM92.8 bilion.

Bagaimanapun, Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan, pencapaian ekonomi itu tidak bermakna sekiranya rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup.

Sehubungan itu, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan bersasar tertinggi dalam sejarah.

Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran turut diperluas ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.

Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 15,881 program berkenaan telah dilaksanakan.

Kerajaan juga melaksanakan penyasaran subsidi menerusi BUDI MADANI Diesel mulai 1 Julai lalu, yang membolehkan rakyat layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter dengan had asas sehingga 200 liter sebulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.