
JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Projek Rancangan pelaksanaan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Bukit Chagar bakal diperkukuh dengan satu lagi jaringan pengangkutan awam tambahan menerusi pembinaan Jejambat terus antara RTS Link dan KTMB Komuter, bernilai RM60 juta yang telah diluluskan kerajaan.
- Jejambat akan memendekkan jarak berjalan kaki antara stesen KTM dan RTS Bukit Chagar, meningkatkan keselesaan penumpang.
- Pembinaan jejambat dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan bagi memudahkan integrasi perkhidmatan rel.
- Kawasan itu akan dilengkapkan sebagai hab pengangkutan pelbagai mod termasuk perkhidmatan bas, e-hailing dan pengangkutan awam lain.
- Projek RTS Link kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan termasuk System Integration Test serta trial run sebelum operasi dibuka.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jejambat baharu itu akan memudahkan pergerakan penumpang antara kedua-dua perkhidmatan rel berkenaan.
“Kita akan membina satu laluan penghubung antara RTS Link dan KTMB bagi membolehkan penumpang dari stesen KTM menuju terus ke RTS Bukit Chagar melalui jejambat. Kemudahan ini akan memendekkan jarak berjalan kaki antara stesen komuter dan RTS Bukit Chagar. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan keselesaan penumpang serta menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter,” katanya ketika melakukan tinjauan kemajuan projek dan kesiapsiagaan operasi RTS Link Johor Bahru-Singapura, di Bukit Chagar, disini.
Jejambat tersebut dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan, sekali gus memudahkan integrasi perkhidmatan rel di kawasan berkenaan.
Pembinaan tersebut juga melengkapkan inisiatif menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pengangkutan awam pelbagai mod, termasuk perkhidmatan bas, e-hailing dan pengangkutan
awam lain selain menyokong usaha mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru.
Dalam perkembangan berkaitan, projek RTS Link kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan selepas kerja fizikal serta pemasangan sistem di kedua-dua negara disiapkan.
Fasa berkenaan merangkumi ‘System Integration Test’, ‘fault-free run’ dan ‘trial run’ sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.
Mengulas mengenai kadar tambang perkhidmatan tersebut, Loke menjelaskan, perkara itu akan diumumkan secara bersama antara Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura dalam masa terdekat.
Katanya, perbincangan mengenai kadar tambang kini berada pada perkembangan positif dan sedang dimuktamadkan.
“Memandangkan ini merupakan projek dua hala antara Malaysia dan Singapura, pengumuman rasmi berkaitan tarikh sebenar operasi serta kadar tambang akan dibuat secara serentak oleh kedua-dua negara,” katanya.
RTS Link menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura.