Pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967, dibentang dalam masa terdekat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 kini berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan memperkukuh kuasa kawal selia dan penguatkuasaan BEM demi keselamatan awam serta akauntabiliti dan integriti profesional.
  • Cadangan melalui proses kelulusan diperkasa, termasuk pertimbangan jabatan dan pihak berkaitan sebelum dibentangkan di Parlimen.
  • Kerajaan menegaskan pendaftaran wajib bagi kerja kejuruteraan profesional; ketidakpatuhan dikenakan tindakan tegas, penalti atau denda.

Pindaan tersebut dirangka bagi memperkukuh kuasa kawal selia serta penguatkuasaan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sekaligus memperbaiki kerangka kawal selia amalan kejuruteraan negara selain memastikan keselamatan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelbagai cadangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah diteliti untuk dimasukkan ke dalam pindaan berkenaan bagi menambah baik peruntukan sedia ada serta mengatasi kelemahan yang dikenal pasti.

Menurut beliau, pindaan tersebut kini sedang melalui proses kelulusan yang diperkasa, termasuk pertimbangan oleh jabatan dan pihak berkaitan sebelum dibawa ke Parlimen.

“Ini bukannya pengawalseliaan demi peraturan semata-mata, melainkan demi keselamatan awam, akauntabiliti profesional, serta jaminan bahawa kerja-kerja kejuruteraan dikendalikan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan (NEC) 2026 di Hotel Royale Chulan di sini, yang turut dihadiri Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Ibrahim Esa.

Konvensyen NEC 2026 yang bertemakan ‘Engineering with Integrity in the Digital Age’ itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari lapan negara termasuk Thailand dan Arab Saudi, menjadi platform utama membincangkan hala tuju serta integriti profesion kejuruteraan mendepani era digital.

Datuk Seri Alexander turut menegaskan pendirian kerajaan, yang mahukan sebarang kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran mesti dilaksanakan secara khusus oleh individu berdaftar.

“Pendaftaran bukanlah sekadar syarat pentadbiran, sebaliknya benteng keselamatan dan kepentingan awam. Sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penalti atau denda,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.