
PUTRAJAYA, 18 Ogos – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkukuh keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi penubuhan Unit Dron yang dilengkapi 18 unit dron.
- Unit dron AADK memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk penerbangan malam untuk tingkatkan ketepatan risikan sebelum tindakan.
- Data pemantauan udara disalurkan ke bilik gerakan AADK bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan terhadap individu dikenal pasti.
- Pelan Strategik AADK 2026-2030 dan inisiatif teknologi seperti KDN Gen AI Platform memperkukuh pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggunaan dron, termasuk penerbangan pada waktu malam, membolehkan kawasan panas penyalahgunaan dadah dipantau dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, maklumat daripada pemantauan udara itu turut membantu meningkatkan ketepatan risikan sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.
“Unit dron ini akan dapat melakukan penerbangan termasuk waktu malam dengan mengesan mereka yang terlibat. Sebelum ini hasilnya, kita dapat sejumlah 23,317 orang dalam senarai orang disyaki terlibat dadah,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.
Data hasil pemantauan dron akan disalurkan ke bilik gerakan AADK bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang dikenal pasti.
Selain itu, beliau berkata AADK turut melancarkan Pelan Strategik AADK 2026 hingga 2030 sebagai landasan memperkukuh fungsi pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan.
Terdahulu, pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau melancarkan KDN Gen AI Platform, Pelan Strategik AADK 2026-2030 serta Unit Dron AADK.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha memperkukuh penggunaan teknologi dalam aspek pencegahan dan penguatkuasaan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.