
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan pemantauan dan rondaan bersama agensi berkaitan bagi mencegah pembakaran terbuka, sekali gus mengurangkan risiko jerebu yang sedang melanda negara.
- Usaha JAS bertujuan memastikan sektor industri, pertanian, tapak pelupusan, hutan dan tanah gambut tidak menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
- Sektor industri disaran mengurangkan pengeluaran atau memastikan alat kawalan pencemaran berfungsi pada tahap terbaik.
- Johan Setia di Selangor merekodkan IPU tidak sihat; 65 stesen pada tahap sederhana, Langkawi dan Perlis catat kualiti baik.
Pengarah Bahagian Penilaian JAS, Rosli Zul berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan sektor industri, pertanian, tapak pelupusan, hutan dan tanah gambut tidak menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
“Kita telah menggerakkan usaha supaya sektor industri memastikan pengeluaran mereka tidak menghasilkan pencemaran yang menyebabkan penurunan kualiti udara ke tahap yang tidak sesuai, mungkin dengan cara mengurangkan pengeluaran atau memastikan alat kawalan pencemaran mereka berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.
Sementara itu, Johan Setia di Selangor terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, iaitu 160 setakat pukul 10.00 pagi tadi.
Kawasan itu merekodkan bacaan IPU melebihi 100 iaitu tahap tidak sihat sejak beberapa hari lepas.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), 65 stesen di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51 hingga 100) manakala Kedah (Langkawi) dan Perlis mencatatkan tahap baik (bawah 50).