
SEPANG, 17 Ogos – Kerajaan terus mempergiat projek penanaman jagung bijian berskala besar sebagai usaha mengurangkan kebergantungan import terhadap makanan ternakan itu.
- MARDI keluarkan varieti bijian MZ1 dan MZ2 sesuai untuk projek skala besar di Genting Tanah Merah Estate, Sepang.
- Sasaran kerajaan: pengeluaran jagung bijian tempatan sekurang-kurangnya 30% dan pengurangan import benih sebanyak 30% menjelang 2040.
- Projek kini melibatkan kira-kira 400 hektar, hasil pertama dijangka hujung tahun; rancangan di Perlis (2,500 ha) dan Sarawak (5,500 ha).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil kerana negara mengimport 100 peratus keperluan jagung bijian bernilai RM3 bilion dengan purata 2.5 juta tan metrik setahun bagi memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, projek itu antara salah satu usaha dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara, terutamanya ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan rantaian bekalan global.
“Inilah usaha kita dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), alhamdulilah, MARDI mengeluarkan varieti bijian MZ1 dan MZ2 yang boleh terlibat dalam projek skala besar di Genting Tanah Merah Estate Sepang ini.
“Sekarang ini kita mula secara skala besar untuk menghasilkan jagung bijian tempatan. Sebelum ini kita dapat mengusahakan bawang dan kali ini jagung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamad memaklumkan, kerajaan menyasarkan pengeluaran jagung bijian tempatan sekurang-kurangnya 30 peratus serta mengurangkan import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040.
Katanya, projek penanaman jagung bijian berskala besar pada ketika ini melibatkan keluasan kawasan penanaman kira-kira 400 hektar tanah, dengan hasil pertama dijangka pada penghujung tahun ini.
Projek itu turut dirancang di Perlis melibatkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak 5,500 hektar, selain penanaman yang telah dimulakan di Perak, Johor dan Pahang.