
KUALA LUMPUR, 17 Ogos -Johan Setia, Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan 137 setakat pukul 1 tengah hari tadi.
- JAS meningkatkan pemantauan di Johan Setia; pemantauan dron 500 meter dan pemeriksaan darat tidak menemui pembakaran terbuka.
- JAS memasang banner larangan pembakaran terbuka dan meneruskan rondaan serta pemantauan udara dan darat sebagai langkah pencegahan.
- ASMC mengesan ratusan titik panas di Kalimantan dan Sumatera, punca kepulan asap; Pelan Tindakan Kebangsaan diaktifkan.
Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), 58 kawasan lain merekodkan status kualiti udara sederhana, manakala lapan kawasan berada pada tahap baik.
Susulan perkembangan itu, JAS meningkatkan pemantauan dan rondaan di Johan Setia bagi memastikan tiada aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran udara.
“Pemantauan udara menggunakan dron dalam radius 500 meter dari lokasi rondaan tidak menemui sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
Pemeriksaan pasukan JAS secara darat turut mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan JAS.
Sebagai langkah pencegahan, JAS memasang banner larangan pembakaran terbuka selain meneruskan rondaan dan pemantauan secara darat serta udara.
Sementara itu, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 16 Ogos mengesan 323 titik panas di Kalimantan, 61 di Sumatera dan satu di Malaysia, iaitu di Pahang.
Peta Jerebu Serantau ASMC pada 17 Ogos pula menunjukkan cuaca kering di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan.
Kepulan asap sederhana hingga padat dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.