Op Ekstrem : JPJ Kelantan keluarkan lebih 3,200 saman dan notis

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah / Foto fail BERNAMA

KOTA BHARU, 17 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 2,248 notis saman dan 1,016 notis lain dalam Op Ekstrem yang dilaksanakan secara berterusan dari Januari hingga Ogos tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Kelantan ambil tindakan ke atas 1,100 kenderaan dan menyita 266 motosikal dalam Op Ekstrem.
  • Pelanggaran utama termasuk 947 kes nombor pendaftaran, 398 sistem lampu dan 187 sistem ekzos.
  • JPJ kesal anak muda belanja RM500 hingga RM15,000 ubah suai ekstrem; operasi dipertingkat dan 20 lokasi lumba haram dikenalpasti.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi sama turut menyaksikan 1,100 kenderaan diambil tindakan, manakala 266 motosikal disita.

Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah 947 kes membabitkan nombor pendaftaran, 513 kesalahan lain, 398 kes sistem lampu, 187 kes sistem ekzos, 87 kes tayar dan rim serta 64 kes pengubahsuaian bentuk dan peralatan.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu penting susulan pihaknya mengesan golongan anak muda sanggup membelanjakan antara RM500 hingga RM15,000 untuk mengubah suai motosikal secara ekstrem.

Katanya, motosikal yang kerap diubah suai ialah Yamaha Y15, manakala antara penunggang paling muda dikesan ialah pelajar berusia 15 tahun.

“Zaman teknologi sekarang memudahkan mereka mendapatkan maklumat dan membeli barangan secara dalam talian tanpa tapisan. Mereka beli dan pasang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terbentuk sebuah motosikal yang pada mereka sangat hebat.

“Bila sudah hebat, mereka mula mahu mencuba dan mencari kawasan tertentu. Lama-kelamaan ia menjadi trend. Sebab itu kita mahu ibu bapa jangan menggalakkan perkara ini dan pastikan motosikal yang dibawa pulang anak diperiksa,” katanya pada sidang media di JPJ Panji, di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, pengubahsuaian motosikal secara ekstrem bukan sahaja mengubah bentuk asal kenderaan, malah ada yang dilakukan bagi membolehkan penunggang melakukan aksi berbahaya seperti gaya ‘Superman’.

Dalam pada itu, JPJ Kelantan mengenal pasti lebih 20 lokasi yang menjadi tumpuan kegiatan perlumbaan motosikal haram di seluruh negeri, termasuk lima lokasi di Kota Bharu.

Menurutnya, operasi akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa susulan banyak aduan diterima daripada orang ramai berhubung kegiatan berkenaan yang mengganggu ketenteraman awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.