Menteri Luar ketuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat JCM Malaysia-Filipina Ke-9 di Manila

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Filipina-Malaysia Ke-9 dengan Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro./ Foto fail BERNAMA

MANILA, 17 Ogos – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Filipina-Malaysia Ke-9 yang berlangsung di Manila, Filipina, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JCM sebagai mekanisme dua hala tertinggi, menjadi wadah menilai kerjasama sedia ada dan merangka pendekatan strategik menghadapi ketidakpastian global.
  • Mesyuarat menumpukan kepada memperkukuh perdagangan dua hala, meningkatkan pelaburan rentas sempadan dan memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.
  • Mesyuarat mempunyai kepentingan tambahan kerana Filipina sebagai Pengerusi ASEAN; Malaysia menegaskan komitmen bekerjasama rapat dan menyokong Kepengerusian Filipina.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Datuk Seri Mohamad mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro.

JCM merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Filipina.

“Mesyuarat ini akan menjadi wadah penting bagi kedua-dua negara untuk menilai perkembangan kerjasama dua hala sedia ada, serta merangka pendekatan strategik dalam menghadapi persekitaran global yang dibentuk oleh ketidakpastian pasaran dan ekonomi,” menurut kenyataan itu.

JCM Ke-9 akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan dua hala, meningkatkan pelaburan rentas sempadan serta memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.

Kedua-dua Menteri turut dijangka meneroka ruang kerjasama yang lebih luas dalam sektor utama termasuk ekosistem halal dan kewangan Islam, kerjasama tenaga, pertanian dan sekuriti makanan, pertahanan dan keselamatan, selain pengurusan bencana dan tindak balas kecemasan.

Menurut Wisma Putra, lawatan tersebut mempunyai kepentingan tambahan memandangkan Filipina merupakan Pengerusi ASEAN ketika ini, dengan Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Manila bukan sahaja secara bilateral, malah dengan menyokong Kepengerusian ASEAN Filipina.

“Perkara ini akan terus memperlihatkan komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Filipina, bukan sahaja dalam konteks dua hala, malah dalam menyokong Kepengerusian ASEAN Filipina, khususnya dalam memelihara kestabilan serantau, menggalakkan tindak balas bersama terhadap cabaran global serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran semasa yang baharu,” menurut kenyataan berkenaan.

Mesyuarat itu juga akan menyusul perbincangan antara kedua-dua Menteri pada JCM Ke-8 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Oktober 2024.

Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan kerjasama yang terjalin sejak sekian lama, dengan kedua-dua negara baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2024.

Filipina merupakan rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN pada 2025.

Malaysia pula merupakan rakan dagang ke-9 terbesar Filipina di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Filipina pada 2025 bernilai RM35.21 bilion (USD8.22 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Filipina meningkat 9.5 peratus kepada RM16.71 bilion (USD4.21 bilion), berbanding RM15.26 bilion (USD3.46 bilion) bagi tempoh sama pada 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.