Johor sasar lebih 200,000 pekerjaan baharu menjelang 2030 – MB

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan) bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani / Foto FB Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Johor menyasarkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan menjelang 2030 menerusi kemasukan pelaburan dan projek bernilai tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan diukur bukan hanya jumlah pelaburan tetapi kemampuan mewujudkan pekerjaan berkualiti, berpendapatan tinggi dan membangunkan bakat tempatan.
  • Johor mencatat pertumbuhan KDNK 8.0 peratus pada 2025, memberi keyakinan untuk terus melangkah maju dalam pembangunan ekonomi.
  • Sasaran akan direalisasikan melalui kerjasama kerajaan negeri, Invest Johor dan MIDA serta sokongan Kerajaan Persekutuan untuk tarik pelaburan berkualiti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu antara usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negeri memberi manfaat lebih besar kepada rakyat, termasuk melalui pekerjaan berkualiti dan berpendapatan lumayan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bagi membincangkan hala tuju pelaburan dan pembangunan industri Johor.

Menurutnya, Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus pada 2025, iaitu antara yang tertinggi di negara ini.

“Pencapaian ini memberi keyakinan untuk Johor terus melangkah ke hadapan, namun ukuran kejayaan kita bukan hanya pada jumlah pelaburan yang dibawa masuk.

Tetapi sejauh mana pelaburan tersebut mampu mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi, membangunkan bakat tempatan serta memberikan manfaat secara langsung kepada Bangsa Johor,” katanya.

Menurutnya, perkara itu termasuk membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), membangunkan vendor serta syarikat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan dalam negeri.

Datuk Onn Hafiz berkata, sasaran itu akan direalisasikan menerusi kerjasama erat kerajaan negeri bersama Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), selain sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin Johor akan terus menjadi antara enjin utama pertumbuhan ekonomi negara dengan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkukuh sektor industri serta memastikan manfaat pembangunan kembali kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.