
JAKARTA, 17 Ogos – Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) mengisytiharkan tempoh tindak balas kecemasan selama 14 hari susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores dua hari lalu.
- Sekurang-kurangnya 51 maut dan 113 cedera menurut BNPB.
- Ribuan terpaksa berpindah, termasuk 3,356 di Sikka, 2,078 di Manggarai dan 500 di Nagekeo.
- Kerosakan meluas: 914 rumah rosak teruk, 126 sederhana, 317 ringan; 93 prasarana pendidikan, 36 kesihatan, 38 pejabat kerajaan.
Berdasarkan dekri kerajaan wilayah itu, tempoh berkenaan berkuat kuasa dari 15 hingga 28 Ogos dan ditandatangani Gabenor Nusa Tenggara Timur, Melki Laka Lena.
Kerajaan wilayah NTT memaklumkan, pengisytiharan status berkenaan bertujuan memudahkan operasi tindak balas bencana, pemindahan mangsa, pengagihan bantuan serta usaha pemulihan di kawasan terjejas.
Gempa kuat pada Sabtu lalu berpusat kira-kira 30 kilometer timur laut Mbay di Kabupaten Nagekeo, pada kedalaman 15 kilometer.
Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), gempa dkuat berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya 51 orang maut manakala 113 lagi cedera.
Malah sebanyak 341 gegaran susulan turut direkodkan selepas itu.
Seramai 3,356 penduduk kini berlindung di Sikka, 2,078 di Manggarai dan 500 lagi di Nagekeo, selain penduduk yang dipindahkan di Bima dan Selayar.
Bencana itu turut menyebabkan 914 rumah mengalami kerosakan teruk, 126 kerosakan sederhana dan 317 kerosakan ringan.
Sebanyak 93 kemudahan pendidikan, 36 kemudahan kesihatan dan 38 pejabat kerajaan turut dilaporkan rosak.
Di Maumere, Kabupaten Sikka, pasukan penyelamat dan petugas kecemasan terus menjalankan operasi membersihkan runtuhan di bangunan Pelabuhan Laurentius Say Maumere yang mengalami kerosakan teruk.
Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di lokasi perkhidmatan perubatan sementara yang dilengkapi khemah dan katil berikutan keperluan mendesak selepas gempa bumi tersebut. – REUTERS