
WASHINGTON, 17 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘tidak berpuas hati’ dengan penyertaan AS dalam latihan bersama Korea Selatan dan mengarahkan pengurangan latihan bermula Isnin.
- Trump menyifatkan latihan mahal, mengatakan AS menanggung sebahagian besar kos dan mengarah Pete Hegseth mengurangkan latihan secara ketara.
- Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan latihan bersama akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
- Pyongyang membantah latihan, menyifatkannya persediaan untuk pencerobohan; AS menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan.
Kenyataan Trump pada Ahad, menjelang latihan tahunan “Ulchi Freedom Shield” di Korea Selatan, menunjukkan kesediaan untuk mencabar pakatan ketenteraan yang telah lama terjalin.
Menerusi hantaran di Truth Social, Trump menyatakan latihan berkenaan menelan kos tinggi dengan sebahagian besar ditanggung AS dengan menyatakan telah terlambat untuk membatalkan latihan berkenaan dan mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth untuk “mengurangkan latihan secara ketara”.
“Berdasarkan hubungan yang sangat baik dengan Kim Jong Un, saya tidak berpuas hati bahawa Amerika Syarikat sejak dahulu telah bersetuju untuk menyertai Latihan Ketenteraan bersama Korea Selatan,”menurut hantaran berkenaan.
Latihan yang berlangsung selama 11 hari itu merupakan acara rutin musim panas bagi angkatan tentera Korea Selatan dan AS sebagai persiapan kedua-dua negara menghadapi sebarang ancaman daripada Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata latihan ketenteraan bersama itu akan “diteruskan seperti yang telah dimaklum dan dijadualkan sebelum ini”katanya ketika diminta mengulas mengenai hantaran Trump.
Pyongyang sejak sekian lama membantah latihan tersebut dan menyifatkannya sebagai latihan persediaan untuk melakukan pencerobohan.
AS menempatkan kira-kira 28,500 anggota tentera di Korea Selatan bagi memperkukuh pertahanan negara itu daripada ancaman ketenteraan Pyongyang.-AFP