SUKMA: Azimat jurulatih, disiplin tinggi julang Danish Mirza

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 16 Ogos – Berbekalkan status pemegang tali pinggang biru, atlet judo Pahang, Danish Mirza Nasrin, 18, melakukan kejutan apabila menumbangkan lawan dari Pulau Pinang, Sheldon Thae untuk merangkul pingat emas kategori lelaki lebih 90 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor di Ideal Convention Centre, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesanan jurulatih jadi azimat; beliau sentiasa ingat pesan agar buat yang sehabis baik di atas tatami.
  • Disiplin dan pengorbanan besar selepas pulang tanpa pingat di SUKMA Sarawak menjadi kunci kejayaan.
  • Beliau sanggup korban masa bersama kawan, tinggalkan melepak dan main game untuk fokus latihan.
  • Kemenangan dilihat sebagai batu loncatan untuk menyertai pasukan kebangsaan jika diberi peluang.

Mengulas mengenai rahsia kejayaannya, anak jati Kuantan berkenaan mendedahkan pesanan jurulatihnya sentiasa menjadi azimat utama setiap kali beliau melangkah masuk ke gelanggang.

“Saya sentiasa ingat pesan jurulatih, apa-apa sahaja boleh berlaku di atas tatami. “Jadi, saya buat yang sehabis baik, saya buat sehabis baik untuk diri sendiri dan berikan keputusan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini

Bagi Danish Mirza, pencapaian meraih emas pada penampilannya yang kedua ini adalah hasil pengorbanan besar dan disiplin tinggi yang dipraktikkan selepas pulang tanpa sebarang pingat pada SUKMA Sarawak sebelum ini.

“Pengorbanan terbesar saya adalah sanggup mengorbankan masa bersama kawan-kawan. Saya tinggalkan aktiviti melepak dan bermain ‘game’ semata-mata untuk fokus kepada latihan demi kejayaan hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kemenangannya kejohanan kali ini sebagai batu loncatan buatnya untuk mewakili negara.

“Mindset saya senang sahaja, bila saya nak, saya akan pastikan saya dapat. Sasaran seterusnya, jika ada rezeki, saya teringin untuk menyertai pasukan kebangsaan. Jika ada tawaran, insya-Allah saya akan pergi,” tambahnya lagi

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.