
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua 16 pelancong Malaysia yang berada di kawasan terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 skala richter di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, berada dalam keadaan selamat.
- Kedutaan Malaysia di Jakarta menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warganegara
- Rakyat di kawasan terjejas dinasihatkan berwaspada, utamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan
- Daftar dan kemas kini maklumat melalui portal e-Konsular; hubungi kecemasan Kedutaan +62 813 8081 3036 untuk bantuan
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berjaya menghubungi kumpulan pelancong berkenaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia akibat kejadian berkenaan”, tambah kenyataan berkenaan.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda kawasan timur laut Mbay di Kabupaten Nagekeo, Nusa Tenggara Timur pada jam 4.58 pagi waktu tempatan, hari ini.
Susulan kejadian itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang dalam perjalanan di kawasan terjejas dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular.
Bagi bantuan kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian kecemasan +62 813 8081 3036.
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan baharu membabitkan rakyat Malaysia.