PERR ke-104 perkenal Anugerah Bola Sepak Melayu

Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed / Foto RTM

AMPANG, 15 Ogos – Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 bakal memperkenal Anugerah Bola Sepak Melayu buat julung kali sebagai antara pembaharuan bagi meremajakan kejohanan itu selaras perkembangan bola sepak semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBMM sedang memuktamadkan kategori Anugerah Bola Sepak Melayu, termasuk Penyerang Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pengurusan Terbaik.
  • Cadangan memperkenalkan anugerah dikemukakan Penaung PBMM, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
  • Edisi ini membuka penyertaan kepada pasukan jemputan dan kelab seperti Penang Flex, UM Damansara dan JBPM, dengan pemilihan teliti.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, beberapa kategori anugerah kini sedang diperincikan.

“Buat masa ini, kita sedang mengadakan perbincangan dan mesyuarat bagi menentukan kategori-kategori yang bersesuaian untuk diketengahkan.

“Antaranya Penyerang Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pengurusan Terbaik, selain beberapa kategori lain yang masih dalam pertimbangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran PERR edisi ke-104, di sini.

Menurut beliau, cadangan memperkenal anugerah itu dikemukakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang juga penaung persatuan berkenaan.

Selain pengenalan anugerah, edisi kali ini turut membuka penyertaan kepada beberapa pasukan jemputan dan kelab yang dilihat lebih relevan dengan perkembangan bola sepak semasa.

Antaranya ialah pasukan Penang Flex, UM Damansara serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Mohd Firdaus berkata, pendekatan itu mengambil kira sebahagian pasukan negeri yang telah melalui proses penswastaan, sekali gus membuka ruang kepada kelab aktif untuk menyertai kejohanan berkenaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan pemilihan pasukan jemputan dibuat secara teliti, termasuk memastikan pasukan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan serta memenuhi segala syarat dan ketetapan ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.