Infrastruktur logistik Malaysia: Sudahkah kita benar-benar terhubung?

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kepada kesalinghubungan fizikal dan digital antara jalan, rel, pelabuhan, gudang dan agensi untuk kurangkan masa serta kos penghantaran.
  • Perkukuh koridor utara Malaysia dan Thailand sebagai pintu gerbang ASEAN melalui ICD, pelabuhan dan rangkaian multimodal bersepadu.
  • Utamakan logistik hijau, optimasi laluan dan konsolidasi muatan; strategi berbeza diperlukan untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tatkala kita bercakap tentang infrastruktur logistik, perkara yang sering terbayang ialah lebuh raya, pelabuhan, landasan kereta api, lapangan terbang atau gudang. Namun, dalam ekonomi moden, persoalan yang lebih penting bukan lagi berapa banyak infrastruktur yang kita bina, tetapi sejauh mana kesemuanya benar-benar saling terhubung atau ‘connected’.

Sebuah produk mungkin bermula di kilang, bergerak dengan lori ke pusat pengedaran, diteruskan melalui kereta api atau pelabuhan dan akhirnya sampai kepada pengguna di dalam atau luar negara. Jika berlaku kelewatan di mana-mana tempat seperti jalan raya, terminal, gudang, sempadan atau proses kastam, maka keseluruhan rantaian bekalan boleh terjejas.

Malaysia sebenarnya mempunyai asas infrastruktur logistik yang kukuh. Dalam Logistics Performance Index (LPI) Bank Dunia 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-26 daripada 139 negara dan merupakan negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan logistik yang baik. Namun, persaingan global tidak lagi hanya bergantung kepada kewujudan infrastruktur. Ia semakin bergantung kepada kelajuan, kebolehpercayaan, integrasi digital dan keupayaan menghubungkan pelbagai mod pengangkutan secara efisien.

Infrastruktur Perlu Dilihat Sebagai Satu Rangkaian

Cabaran utama kita ialah memastikan jalan raya, rel, pelabuhan, lapangan terbang, gudang, pusat pengedaran, sempadan dan sistem digital tidak beroperasi secara berasingan.

Apa gunanya pelabuhan yang cekap jika lori perlu menunggu terlalu lama untuk keluar masuk? Apa gunanya gudang moden jika sambungan kepada rangkaian pengangkutan tidak efisien? Dan apa gunanya sistem digital yang canggih jika maklumat antara agensi dan pemain industri masih tidak dapat dikongsi dengan lancar?

Ukuran kejayaan bukan sekadar berapa jarak kilometer lebuh raya dibina atau berapa banyak gudang tersedia, tetapi berapa lama dan berapa kos yang diperlukan untuk menggerakkan sesuatu barangan dari pengeluar kepada pengguna.

Menghubungkan Utara Malaysia dengan Thailand dan ASEAN Kedah dan Perlis bukan sekadar negeri sempadan tetapi kedudukannya yang strategik memberikan peluang untuk menjadi pintu gerbang logistik Malaysia–Thailand dan penghubung kepada pasaran ASEAN. Laluan Bukit Kayu Hitam–Sadao dan Padang Besar mempunyai peranan penting dalam pergerakan manusia dan barangan antara Malaysia dengan selatan Thailand.

Pada masa yang sama, pembangunan Bukit Kayu Hitam Inland Clearance Depot (ICD) dan Perlis Inland Port (PIP) membuka peluang untuk membentuk ekosistem logistik rentas sempadan yang lebih bersepadu. Bayangkan satu koridor yang menghubungkan Thailand–Perlis–Kedah–Pulau Pinang dengan jaringan jalan raya, rel, pusat logistik, pelabuhan dan sistem digital yang saling melengkapi.

Barangan dari selatan Thailand boleh bergerak melalui pintu sempadan, dikonsolidasikan di hab logistik di utara, seterusnya dihubungkan ke Penang Port untuk pasaran antarabangsa. Sebaliknya, produk dari kawasan industri di Kedah dan Pulau Pinang boleh bergerak ke Thailand dengan lebih pantas dan kompetitif.

Ini bukan sekadar isu pengangkutan. Ia adalah peluang untuk menjadikan utara Malaysia sebagai koridor ekonomi dan logistik ASEAN.

Daripada “Border Crossing” kepada “Borderless Logistics”

Sempadan negara kekal penting dari sudut keselamatan, kastam dan peraturan tetapi dari perspektif logistik, aliran maklumat dan proses tidak sepatutnya terhenti di sempadan. Bayangkan jika maklumat kargo, status lori, dokumen perdagangan, proses kastam dan jadual penghantaran dapat disepadukan secara digital antara pihak berkepentingan di Malaysia dan Thailand.

Pengendali logistik boleh membuat perancangan lebih awal. Pihak berkuasa boleh melaksanakan pemeriksaan berasaskan risiko. Syarikat pula dapat mengurangkan masa menunggu dan ketidakpastian.

Hasilnya bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengurangkan penggunaan bahan api, perjalanan kosong lori dan pelepasan karbon. Di sinilah logistik pintar dan logistik hijau diaplikasikan.

Semenanjung menghubungkan Industri, Pelabuhan dan Pasaran

Di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia pula, tumpuan perlu diberikan kepada hubungan antara kawasan industri, pusat pengedaran, pelabuhan dan pasaran. Malaysia mempunyai kawasan perindustrian dan pusat ekonomi yang berkembang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak sehingga Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Apa yang diperlukan ialah jaringan multimodal yang membolehkan syarikat memilih kombinasi pengangkutan paling sesuai dari segi kos, masa, kebolehpercayaan dan pelepasan karbon yang minimum.

Sebagai contoh, tidak semua kargo perlu bergerak sepenuhnya menggunakan lori. Kargo tertentu boleh menggunakan rel bagi jarak yang lebih jauh, sebelum disambungkan kepada lori untuk last-mile delivery. Pendekatan ini boleh mengurangkan kesesakan jalan raya, penggunaan bahan api dan tekanan terhadap infrastruktur jalan.

Sabah dan Sarawak: Connectivity dengan Pendekatan Berbeza

Jika di utara kita membincangkan hubungan Malaysia–Thailand, Sabah dan Sarawak pula mempunyai cabaran logistik yang berbeza.

Geografi yang luas, jarak antara pusat pengeluaran dan pasaran, taburan penduduk serta bentuk muka bumi menyebabkan strategi logistik di Borneo tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Semenanjung.

Di Sabah dan Sarawak, persoalannya ialah bagaimana untuk menghubungkan kawasan pedalaman, bandar, kawasan industri, pelabuhan dan pasaran dengan lebih cekap. Dalam keadaan tertentu, penyelesaian terbaik bukan semata-mata membina lebih banyak jalan raya. Sebaliknya, gabungan jalan raya, pengangkutan laut, udara, rel dan pusat pengumpulan mungkin lebih sesuai.

Sebuah produk dari kawasan pedalaman, misalnya, mungkin bergerak melalui jalan raya ke pusat pengumpulan, kemudian melalui pelabuhan sebelum dihantar ke pasaran Semenanjung atau antarabangsa. Jika setiap peringkat dirancang secara berasingan, kos keseluruhan boleh meningkat. Tetapi jika ia dirancang sebagai satu perjalanan logistik bersepadu, masa, kos dan pelepasan karbon boleh dikurangkan.

Menghubungkan Borneo dengan Semenanjung dan ASEAN

Sabah dan Sarawak juga mempunyai potensi yang sangat besar dalam jaringan perdagangan serantau. Pelabuhan dan pusat industri di Borneo boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menghubungkan aktiviti ekonomi tempatan dengan Semenanjung, ASEAN dan Asia Timur.

Namun, untuk merealisasikan potensi tersebut, hubungan antara pelabuhan, kawasan industri, pusat pengeluaran dan rangkaian pengangkutan perlu diperkukuh. Dalam konteks ini, konsep multimodal logistics menjadi sangat penting. Kita perlu bertanya bukan hanya di mana pelabuhan dibina tetapi bagaimana barangan dari kawasan pengeluaran boleh sampai ke pelabuhan dengan kos dan masa yang paling optimum?

Belajar Daripada Negara Lain

Pengalaman Singapura menunjukkan bahawa kelebihan logistik bukan hanya bergantung kepada jumlah infrastruktur. Kecekapan datang daripada integrasi pelabuhan, jalan raya, teknologi, data dan perancangan.

Belanda pula menunjukkan bagaimana jalan raya, kereta api, laluan air dan pelabuhan boleh berfungsi sebagai satu rangkaian multimodal. China pula menunjukkan kepentingan menyelaraskan pembangunan infrastruktur dengan pusat pengeluaran, bandar, pelabuhan dan pasaran.

Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada pendekatan ini, tetapi disesuaikan dengan realiti kita sendiri.

Logistik Hijau: Kurangkan Perjalanan, Bukan Sekadar Emisi

Kesalinghubungan infrastruktur juga mempunyai dimensi alam sekitar. Logistik hijau tidak semestinya bermula dengan menggantikan semua lori kepada kenderaan elektrik. Ia boleh bermula dengan perkara yang lebih asas tetapi mempunyai kesan besar dengan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

Jika satu kenderaan berat bergerak sejauh 500 kilometer untuk membawa muatan yang boleh dikonsolidasikan dengan penghantaran lain, kita bukan sahaja menanggung kos bahan api, tetapi juga menghasilkan pelepasan karbon yang sebenarnya boleh dielakkan.

Oleh itu, teknologi seperti route optimization, load consolidation, perkongsian kemudahan, real-time tracking dan perancangan multimodal perlu menjadi sebahagian daripada strategi logistik hijau negara.

Bagaimana Kita Mengukur Keberkesanan Infrastruktur Logistik?

Antara indikator utama yang boleh digunakan untuk menilai keberkesanan infrastruktur logistik ialah masa menunggu di sempadan dan terminal, masa perjalanan dari kilang ke pelabuhan, kos pengangkutan, kadar perjalanan tanpa muatan, masa kontena berada di terminal, penggunaan pengangkutan multimodal, pelepasan karbon bagi setiap penghantaran dan kebolehpercayaan masa penghantaran.

Sebahagian daripada indikator ini selari dengan dimensi masa dan kesalinghubungan dalam Logistics Performance Indicators (LPI) 2.0 World Bank, manakala indikator lain boleh digunakan sebagai ukuran prestasi logistik pada peringkat nasional dan operasi.

Satu Malaysia, Tetapi Tidak Semestinya Satu Penyelesaian

Malaysia memerlukan strategi kesalinghubungan logistik nasional, tetapi penyelesaiannya tidak semestinya sama bagi setiap wilayah.

Di utara, kita boleh memperkukuh koridor Thailand–Perlis–Kedah–Pulau Pinang sebagai pintu gerbang ASEAN. Di tengah dan selatan Semenanjung, kita perlu terus menghubungkan kawasan
industri, pelabuhan, pusat pengedaran dan pasaran melalui rangkaian multimodal.

Manakala di Sabah dan Sarawak pula, fokus perlu diberikan kepada connectivity antara kawasan pedalaman, bandar, pelabuhan, pusat industri serta hubungan maritim dan udara dengan Semenanjung dan pasaran antarabangsa.

Sebaliknya, setiap wilayah perlu dibangunkan berdasarkan kekuatan ekonomi, geografi dan keperluannya sendiri tetapi semuanya perlu dihubungkan dalam satu ekosistem nasional.

Masa Depan ialah Connected Logistics

Malaysia mempunyai kedudukan geografi yang strategik. Kita berada di tengah-tengah laluan perdagangan Asia dan mempunyai hubungan darat dengan Thailand serta hubungan maritim yang luas dengan ASEAN dan pasaran dunia. Cabaran kita sekarang ialah memastikan kelebihan geografi itu diterjemahkan kepada kelebihan logistik.

Masa depan logistik Malaysia bukan sekadar membina lebih banyak jalan raya, pelabuhan, gudang atau terminal. Masa depan ialah membina infrastruktur yang saling terhubung secara fizikal dan digital dari utara Semenanjung sehingga Sabah dan Sarawak, dan dari Malaysia ke pasaran ASEAN serta dunia.

Jika kita berjaya melakukannya, manfaatnya bukan sahaja kepada industri logistik. Ia boleh membantu mengurangkan kos barangan, meningkatkan daya saing eksport, menarik pelaburan, membuka peluang ekonomi di luar bandar, mengurangkan jurang antara wilayah dan pada masa yang sama menyokong agenda kelestarian negara.

Ia juga selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan ekonomi yang mampan, kecekapan tadbir urus dan peningkatan kesejahteraan rakyat.

Kesimpulannya, logistik bukan sekadar memindahkan barang dari satu lokasi ke lokasi lain tetapi logistik adalah tentang menghubungkan manusia, industri, peluang ekonomi dan pasaran.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim
Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mk.irwan@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.