STR Fasa 3 disalurkan hari ini kepada 5.3 juta penerima

Orang ramai berbaris di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) /Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Seramai 5.3 juta penerima mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 secara berperingkat mulai hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayaran antara RM150 hingga RM600 berdasarkan pendapatan dan bilangan anak; warga emas tiada pasangan menerima RM150.
  • Pemindahan terus ke akaun bank untuk yang berakaun; penerima tanpa akaun boleh tuntut tunai di cawangan BSN.
  • Permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun; MOF ingatkan orang ramai elak pautan palsu dan penipuan.

Jumlah penerima STR Fasa 3 meningkat sebanyak 300,000 kepada 5.3 juta berbanding lima juta penerima pada awal tahun.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan jumlah penerima itu menunjukkan kerajaan terus memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran.

Daripada jumlah itu, 3.9 juta penerima terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi adalah warga emas tiada pasangan.

Penerima akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun ini mencecah RM3.6 bilion, manakala peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3.

“STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membantu meringankan keperluan rakyat, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, bayaran boleh diperoleh secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR.

MOF turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi STR untuk mendapatkan maklumat terkini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.