
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini, susulan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.
- Pertumbuhan disokong peningkatan perdagangan luar, permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik serta produk petroleum.
- Permintaan domestik yang meningkat, pemulihan pelancongan dan pendapatan lebih tinggi menjadi pemacu utama pertumbuhan.
- Momentum dijangka sederhana pada separuh kedua 2026 akibat kesan asas menurun serta gangguan bekalan dan tekanan kos.
- Risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, inflasi lebih tinggi dan peraturan perdagangan yang lebih ketat.
Firma penyelidikan itu memaklumkan, pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi berkenaan sebahagian besarnya didorong peningkatan perdagangan luar, disokong permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan peningkatan berterusan dalam permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan, disokong peningkatan aktiviti pelancongan dan pendapatan yang lebih tinggi, manakala inflasi kekal secara amnya terkawal,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut MBSB Research, pengukuhan berterusan aktiviti ekonomi domestik menjadi antara pemacu utama pertumbuhan KDNK sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini.
Bagaimanapun, bagi separuh kedua 2026, firma itu menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi menjadi lebih sederhana berikutan kesan asas yang semakin berkurangan, selain berdepan cabaran daripada gangguan bekalan dan tekanan kos yang lebih tinggi.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, ekonomi Malaysia juga kekal terdedah kepada beberapa risiko penurunan, termasuk peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan perdagangan dan rantaian bekalan yang berpanjangan, inflasi yang lebih tinggi, peraturan perdagangan yang lebih ketat serta kemungkinan permintaan akhir yang lebih lemah,” katanya.
Namun begitu, MBSB Research berpandangan daya tahan permintaan domestik dan pemulihan sektor pelancongan dijangka menjadi penampan penting kepada ekonomi negara dalam menghadapi kelembapan perdagangan global serta ketidaktentuan geopolitik.
Menurut firma itu, peningkatan jumlah ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelawat yang kukuh dijangka terus menyokong aktiviti dalam sektor perkhidmatan dan peruncitan.
Perkembangan itu seterusnya membantu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara meskipun persekitaran luaran terus berdepan pelbagai cabaran.