Inflasi Malaysia 2026 kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.5 peratus

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Inflasi keseluruhan Malaysia 2026 kekal terkawal dalam lingkungan antara 1.5 hingga 2.5 peratus, meskipun berdepan perubahan tekanan kos luaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi utama meningkat kepada 1.9 peratus pada suku kedua 2026; inflasi teras menyederhana kepada 1.9 peratus.
  • Peningkatan tekanan kos luaran disebabkan konflik Asia Barat menyumbang kepada kenaikan harga bahan api.
  • Tekanan kos input berpanjangan kemungkinan berlaku akibat gangguan rantaian bekalan dan cuaca tidak menentu.
  • Permintaan domestik stabil dan langkah bersasar kerajaan termasuk subsidi bahan api mengurangkan kesan kenaikan kos global.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perkembangan inflasi dan data terkini sehingga awal Ogos secara keseluruhannya masih selaras dengan unjuran berkenaan.

“Namun, prospek inflasi masih berdepan risiko peningkatan, terutamanya akibat ketidaktentuan luaran. Sebagai contoh, peningkatan konflik di Asia Barat boleh menyebabkan harga komoditi global meningkat.

Tekanan kos input yang lebih tinggi dan berpanjangan juga boleh berlaku susulan gangguan rantaian bekalan yang lebih meluas, termasuk akibat keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, inflasi juga berpotensi lebih rendah sekiranya permintaan global melemah dan keadaan bekalan global terus bertambah baik.

Keadaan itu boleh mengurangkan tekanan kos, sekali gus menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah.

Menurut beliau, permintaan domestik yang stabil serta langkah bersasar kerajaan, termasuk subsidi bahan api, dijangka terus mengehadkan kesan kenaikan kos global terhadap harga pengguna.

“Memandangkan ketidaktentuan dalam persekitaran global masih berterusan, kami akan terus berwaspada dan memantau perkembangan semasa dengan teliti.

“Kami akan menilai kesan perubahan keadaan kos dan permintaan terhadap perkembangan inflasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, inflasi utama Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 1.6 peratus pada suku pertama, manakala inflasi teras menyederhana kepada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus sebelumnya.

Menurut Abdul Rasheed, peningkatan inflasi keseluruhan itu sebahagian besarnya mencerminkan tekanan kos luaran yang lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat.

“Harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat pada suku tersebut, menyebabkan inflasi bahan api meningkat kepada 5 peratus berbanding negatif 1.5 peratus pada suku pertama 2026,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.