
PUTRAJAYA, 13 Ogos- Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap peruntukan kepada kementerian itu menerusi Belanjawan 2027 dapat ditingkatkan berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan serta memenuhi keperluan rakyat dan sektor pembinaan.
- Permohonan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan kementerian dan input hasil libat urus dengan pemain industri.
- Pemain industri membangkitkan kos bahan binaan, tenaga buruh dan cukai namun DOSM melaporkan harga bahan binaan masih stabil.
- Dialog menekankan enam Agenda Transformasi termasuk pengukuhan jalan, pembangunan mampan NETR, pendigitalan dan pemantapan modal insan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata permohonan peruntukan itu dibuat berdasarkan keperluan kementerian serta perkara yang dibangkitkan pemain industri menerusi sesi libat urus.
Beliau berkata antara perkara yang dibangkitkan pemain industri termasuk kos bahan binaan, tenaga buruh dan cukai.
Mengulas mengenai harga bahan binaan, Datuk Seri Alexander berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pergerakan harga ketika ini masih stabil dan kenaikannya tidak begitu ketara.
“Mereka (pemain industri) beranggapan seolah-olah berlaku kenaikan yang ketara, tetapi berdasarkan dapatan kajian DOSM, kenaikan harga bahan binaan tidak begitu tinggi. Seperti yang dinyatakan Timbalan Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Maslan) tadi, memang terdapat kenaikan, tetapi tidak sampai satu peratus,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 KKR, di sini hari ini.
Datuk Seri Alexander berkata KKR akan terus mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber termasuk pembekal dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memastikan gambaran sebenar mengenai kos pembinaan.
Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 itu memfokuskan enam Agenda Transformasi Sektor Pembinaan sebagai input kepada cadangan Belanjawan 2027.
Agenda berkenaan meliputi Pengukuhan Rangkaian Jalan Raya dan Projek Berimpak Tinggi, Pemerkasaan Pembangunan Mampan Selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Pemerkasaan Ekosistem Pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0.
Tiga agenda lain ialah Pembangunan Kapasiti Tempatan, Pengukuhan Keselamatan Jalan Raya menerusi MYJalan serta Penambahbaikan Peraturan dan Pemantapan Modal Insan.