Polis Perak lupus dadah, bahan ketum bernilai lebih RM4 juta

Foto RTM

IPOH, 13 Ogos – Polis Perak hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah dan bahan berkaitan ketum bernilai lebih RM4 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelupusan barang kes melibatkan 16 daerah di Perak.
  • Barang dilupuskan termasuk 39.28 kg syabu, 20.30 kg yaba, 8.14 kg heroin dan 2.79 kg ganja.
  • Sehingga 10 Ogos, 12,916 pesalah dadah ditahan; 1,934 bagi pengedaran; rampasan dadah melebihi RM46 juta; sitaan aset RM4.36 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelupusan itu membabitkan barang kes daripada 16 daerah di negeri itu.

Antara yang dilupuskan ialah 39.28 kilogram (kg) syabu, 20.30 kg yaba, 8.14 kg heroin dan 2.79 kg ganja, selain ketamin, ekstasi dan Eramin 5.

Turut dilupuskan ialah 282.7 kg daun ketum, 2.34 juta mililiter cecair ketum serta 22,465 mililiter ubat batuk.

“Jumlah keseluruhan pelupusan yang dilakukan ini dianggarkan bernilai RM4,080,194.87, membabitkan sebanyak 5,000 kertas siasatan dari tahun 2000 hingga 2025 bagi kes yang telah selesai perbicaraan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seramai 12, 916 pesalah dadah ditahan di Perak bagi tempoh Januari hingga 10 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, 1,934 individu ditahan atas kesalahan pengedaran dadah; meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah rampasan dadah bagi kes pengedaran dan memiliki pula lebih RM46 juta, manakala sitaan aset milik pengedar di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 mencecah RM4.36 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.