Dadah lebih RM18,000 ditemukan di lokap, polis antara tiga ditahan

Foto RTM

MANJUNG, 13 Ogos – Polis menahan tiga individu termasuk seorang anggota polis selepas menemukan dadah disyaki methamphetamine, heroin dan kanabis di lokap Balai Polis Lumut, di sini pada Selasa lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan: 16 tiub methamphetamine (109.54 g), 16 bungkus heroin (110.37 g), 23 bungkus kanabis (142.31 g).
  • Nilai rampasan dianggarkan RM18,534; kedua-dua OKT didapati positif methamphetamine hasil saringan air kencing awal.
  • Suspek direman tujuh hari hingga 18 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dua lelaki berusia 40-an yang merupakan orang kena tuduh (OKT) dan seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 8.30 pagi selepas pihak polis mengesan beberapa bungkusan disyaki mengandungi dadah di dalam lokap berkenaan,” katanya.

Hasil pemeriksaan menemukan 16 bungkus tiub plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 109.54 gram, 16 bungkus bahan disyaki heroin seberat 110.37 gram serta 23 bungkus daun kering disyaki kanabis seberat 142.31 gram.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM18,534. Kedua-dua OKT yang ditahan turut didapati positif methamphetamine hasil saringan awal air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan turut mendapati anggota polis terbabit tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib sebelum ini.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.