Bantuan bersasar ikut keperluan pelajar, peniaga kecil terus diperkasa

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim

BUKIT BERUANG, 21 November – Bantuan yang disesuaikan mengikut keperluan penerima khususnya pelajar dan usahawan kecil akan diteruskan bagi memastikan manfaat lebih praktikal dan memberi impak jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan bukan sekadar kewangan; disediakan kelengkapan pembelajaran untuk pelajar dan peralatan operasi yang menyokong peniaga kecil.
  • Program dilaksanakan bersama MITRA dan Kolej Komuniti Bukit Beruang untuk penyaluran bantuan kepada pelajar dan usahawan.
  • Pusat Khidmat Parlimen memberi sokongan susulan bagi memastikan bantuan memberi manfaat berterusan, bukan hanya jangka pendek.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata pendekatan itu tidak hanya tertumpu kepada sumbangan kewangan, sebaliknya disesuaikan dengan keperluan penerima.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata bagi golongan pelajar, keperluan mereka adalah untuk mendapatkan kelengkapan pembelajaran, manakala peniaga kecil dibantu menerusi kelengkapan yang boleh digunakan secara langsung dalam perniagaan.

“Bantuan berkenaan dapat mengurangkan beban penerima memandangkan sebahagian peralatan yang diperlukan memerlukan kos yang tinggi.

“Golongan usahawan pula selain daripada sumbangan kewangan, kita sebenarnya usahakan untuk membantu menyediakan peralatan bagi menyokong aktiviti mereka seperti perniagaan makanan memerlukan alatan memasak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Projek Bina Belia Madani Hang Tuah Jaya di Kolej Komuniti Bukit Beruang di sini.

Pada program berkenaan, seramai 11 pelajar dan 10 usahawan wanita menerima bantuan menerusi program kerjasama bersama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kolej Komuniti Bukit Beruang.

Tambahnya, usaha itu akan diteruskan termasuk menghubungkan penerima dengan Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya bagi membolehkan sokongan susulan diberikan mengikut keperluan.

“Pendekatan tersebut selaras dengan komitmen untuk memastikan bantuan kepada masyarakat memberi manfaat berterusan dan bukan sekadar untuk tempoh jangka pendek,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.