Sistem ANAK perkukuh keselamatan, perlindungan kanak-kanak

Malaysia komited memperkukuh aspek perlindungan, kebajikan serta pembangunan kanak-kanak secara menyeluruh/Foto FB Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

KUALA LUMPUR, 21 November – Sistem Perkhidmatan Kanak-Kanak (Sistem ANAK) telah merekodkan 10,452 semakan Daftar Kanak-Kanak (e-DKK) serta 531 permohonan anak pelihara sepanjang Ogos 2025 hingga 17 November lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem ANAK memperkukuh keselamatan kanak-kanak melalui semakan dan pengurusan perkhidmatan digital, termasuk permohonan anak pelihara serta semakan pelaku jenayah seksual.
  • Platform digital ini menyokong pendigitalan perkhidmatan, selaras Akta Kanak-Kanak 2001, memperkukuh ekosistem keselamatan seperti Halatuju KPWKM 2024.
  • Kerajaan komited melindungi, membela dan membangunkan kanak-kanak, menjamin akses pendidikan, kesihatan, persekitaran selamat serta memperkasakan suara kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan sistem berkenaan turut mencatatkan seramai 4,067 pengguna awam aktif serta 1,169 pengguna aktif daripada Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK).

“Sistem berkenaan turut memudahkan permohonan anak pelihara, semakan maklumat berkaitan pelaku kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pengurusan orang yang layak dan sesuai (OYLS) serta mempercepatkan urusan semakan dan permohonan yang melibatkan sektor berkaitan kanak-kanak,”katanya ketika berucap pada Majlis Hari Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Pembangunan Sistem ANAK bertujuan memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak menerusi kemudahan semakan serta pengurusan perkhidmatan berkaitan.

Sistem berkenaan dibangunkan pada 2024 mula digunakan sepenuhnya tahun lepas, selaras peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Pelaksanaan platform digital itu turut menyokong usaha pendigitalan perkhidmatan serta memperkukuh ekosistem keselamatan kanak-kanak, seperti yang digariskan menerusi Halatuju KPWKM 2024.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia komited memperkukuh aspek perlindungan, kebajikan dan pembangunan kanak-kanak secara menyeluruh.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata, komitmen itu merangkumi usaha memastikan setiap kanak-kanak memperoleh akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, selain menikmati persekitaran yang selamat serta bebas daripada pelbagai ancaman.

“Berdasarkan Laporan UNICEF, Malaysia berjaya mencapai sasaran global dengan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun yang sangat rendah , sekitar lapan kematian bagi setiap seribu kelahiran hidup.

“Ini jauh lebih baik berbanding sasaran 25 kematian yang ditetapkan menjelang 2030 dan kita juga menyediakan kemudahan kesihatan terbaik kerana 100 peratus kelahiran dikendalikan oleh petugas kesihatan yang terlatih,”katanya yang turut berucap ketika merasmikan Hari Kanak-Kanak.

Tambah beliau, Malaysia turut mengekalkan liputan lebih 95 peratus bagi vaksin utama kanak-kanak serta akses hampir menyeluruh kepada air bersih dan sanitasi selamat.

Dengan tema “Impian dan Hak Masa Depan Kami”, beliau berkata sambutan Hari Kanak-Kanak menjadi platform memperkasakan suara kanak-kanak, meningkatkan kesedaran masyarakat kepada hak serta menghargai peranan kanak-kanak sebagai aset penting negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.