
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Program eTRADE 2.0 berjaya menjana RM438.7 juta jualan eksport sebenar, selain menembusi 163 pasaran antarabangsa; membuktikan bahawa e-dagang rentas sempadan menjadi pemacu yang semakin penting kepada pertumbuhan eksport negara.
- Program eTRADE 2.0 memberi manfaat kepada lebih 2,000 PMKS melalui geran, latihan, bimbingan teknikal dan pembangunan kapasiti.
- Program membantu syarikat menembusi pasaran kurang diterokai seperti Réunion, Kiribati dan Nauru, sambil mengukuh kehadiran di ASEAN.
- Sekurang-kurangnya 852 produk baharu disenaraikan di platform e-dagang antarabangsa, memperluas kehadiran produk Malaysia di pasaran global.
- MATRADE akan teruskan usaha menerusi eBizLink 2.0 untuk perluas akses pasaran, tingkatkan kapasiti PMKS dan bangunkan ekosistem perdagangan digital.
Inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) itu turut memberi manfaat kepada lebih 2,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia.
Antaranya melalui sokongan geran, latihan, bimbingan teknikal dan pembangunan kapasiti bagi membolehkan syarikat tempatan memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran global.
Menurut MATRADE, dapatan tersebut diperoleh menerusi Kajian Impak Program eTRADE 2.0 yang dilaksanakan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd.
”Antara pencapaian paling ketara ialah kejayaan syarikat penerima insentif menembusi 163 pasaran eksport, termasuk pasaran yang kurang diterokai seperti Réunion Island, Kiribati dan Nauru.
”Pada masa sama, ASEAN kekal sebagai destinasi eksport utama, dengan kira-kira 30 peratus syarikat penerima insentif berjaya memperkukuh kedudukan mereka di rantau tersebut,” menurut MATRADE dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas kenyataan itu, antara produk yang mendapat permintaan tinggi termasuk makanan tersedia, minuman, produk farmaseutikal dan kosmetik, barangan isi rumah serta produk plastik.
Kajian turut mendapati sekurang-kurangnya 852 produk baharu telah disenaraikan di platform e-dagang antarabangsa, sekali gus memperluaskan kehadiran produk Malaysia di pasaran global.
Daripada aspek pembangunan sosioekonomi, sekurang-kurangnya 661 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dalam kalangan syarikat penerima.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof, pencapaian Program eTRADE 2.0 menunjukkan bahawa pendekatan digital mampu membantu PMKS mengatasi sebahagian daripada cabaran tradisional dalam perdagangan antarabangsa.
“Melalui program ini, syarikat PMKS telah memperlihatkan tahap ketahanan, keupayaan adaptasi serta prestasi yang memberangsangkan, khususnya dalam aspek pertumbuhan eksport, penciptaan peluang pekerjaan dan peluasan capaian ke pasaran antarabangsa.
”Kejayaan tersebut turut menunjukkan bahawa platform digital bukan sekadar saluran pemasaran, malah boleh menjadi pintu masuk kepada pasaran eksport baharu bagi syarikat Malaysia, khususnya PMKS yang berdepan kekangan sumber, kos dan akses kepada pasaran antarabangsa,” katanya.
Susulan kejayaan program itu, MATRADE akan meneruskan usaha memperkukuh ekosistem e-dagang rentas sempadan melalui Program eBizLink 2.0, dengan memberi tumpuan kepada peluasan akses pasaran antarabangsa, peningkatan kapasiti PMKS, pembangunan ekosistem perdagangan digital serta kerjasama strategik dengan platform e-dagang global.